Tidak timbul soal Muhyiddin hilang kepercayaan

Iklan
Muhyiddin Yassin pada sesi soal jawab Persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Tidak timbul soal Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berdepan kekurangan kepercayaan dalam Dewan Rakyat sehingga memerlukan usul percaya dan tidak percaya didahulukan dalam Aturan Mesyuarat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pandangan itu berdasarkan dua senario iaitu bagaimana Muhyiddin memperoleh sokongan 114 ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kelulusan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 pada 26 November lalu menunjukkan Perdana Menteri masih mempunyai sokongan mencukupi.

"Oleh itu, tidak timbul langsung soal kononnya ada kekurangan atau kehilangan sokongan majoriti terhadap Yang Amat Berhormat (YAB) Pagoh.

Iklan

"Namun, ia bukan menjadi satu halangan kepada mana-mana pihak untuk kemukakan apa jua bentuk yang menunjukkan sokongan kepada mana-mana Ahli Dewan Rakyat untuk menjadi seorang Perdana Menteri, mungkin Perdana Menteri kesembilan.

"Kita di pihak kerajaan sentiasa terbuka. Sekiranya ada mana-mana ahli Parlimen boleh mengemukakan Akuan Bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong, melebihi 112 sokongan, maka kita akur kepada proses demokrasi dalam negara ini,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta kerajaan menyatakan bila 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya kepada Perdana Menteri akan dibentang, dibahas dan diundi di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, mengenai usul undi percaya dan tidak percaya itu, Takiyuddin berkata, walaupun usul itu telah dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 26 (1) dan 27 (3), ia masih tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 14 dan 15.

"Memandangkan tidak ada langsung bentuk yang menggambarkan Pagoh hilang kepercayaan, kerajaan berpandangan, usul tidak percaya dan usul percaya merupakan usul yang melibatkan sesuatu yang tertentu dan kepentingan orang ramai.

"Tetapi, saya percaya, Dewan menganggap itu bukan satu perkara yang perlu disegerakan,” katanya.