SHAH ALAM - Istiadat sambutan Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-75 ditangguhkan.
Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin bertitah, Istiadat Penganugerahan dan Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor akan dilaksanakan pada tarikh yang akan ditetapkan bergantung kepada keadaan semasa wabak Covid-19.
"Beta berkenan untuk menganugerahkan petugas barisan hadapan dengan bintang kebesaran dan pingat-pingat Negeri Selangor bagi menghargai jasa mereka yang telah berkorban.
"Semoga dengan penganugerahan ini dapat menaikkan semangat petugas hadapan ini untuk meneruskan tugas mereka dengan penuh dedikasi," titah baginda.
Baginda bertitah, penghargaan diberikan kepada doktor, jururawat, kakitangan hospital serta barisan hadapan kerana mereka telah melaksanakan tugas tanpa mengenal penat-lelah bagi merawat pesakit yang dijangkiti Covid-19 serta mencegah penularan wabak tersebut.
Baginda dalam pada itu turut menzahirkan rasa simpati dengan kehidupan rakyat Selangor ketika ini khususnya masalah ekonomi yang sedang dihadapi mereka.
Sehubungan itu, baginda menyeru pemimpin politik untuk turun bersama rakyat bagi mengenal pasti masalah rakyat dan berusaha keras ke arah membantu mengatasi masalah mereka terutama mereka yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19.
"Ekonomi negara yang terjejas teruk mengakibatkan ramai dalam kalangan rakyat terjejas pendapatan dan ada yang kehilangan pekerjaan serta sumber pendapatan.
"Lantaran itu, sebahagian besar rakyat kini menghadapi masalah kesempitan hidup dan kesukaran untuk menampung kos sara hidup seharian," titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut berharap rakyat dapat terus bersabar dan tenang dalam menghadapi segala dugaan dan sentiasa berdoa agar musibah menimpa segera diangkat dan dikembalikan semula kehidupan seperti sediakala.
"Beta mohon agar rakyat yang beragama Islam untuk sentiasa berdoa dan bersolat hajat manakala bagi rakyat yang bukan beragama Islam untuk turut sama berdoa mengikut fahaman agama masing-masing.
"Beta ingin mengingatkan semua rakyat terus menjalani kehidupan dengan penuh disiplin dalam normal baharu dan mematuhi dengan ketat segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan serta pihak berkuasa," titah baginda.
Baginda turut mengharapkan risiko jangkitan wabak Covid-19 ini dapat dikurangkan dan seterusnya dapat dihapuskan penularannya di negara ini.
"Beta berdoa ke hadrat ALLAH SWT agar Selangor dan rakyat yang dikasihi sentiasa dipelihara daripada sebarang mala petaka dan musibah," titah baginda.