KUALA LUMPUR - Pemvaksinan adalah hak asasi manusia yang harus dihormati, dilindungi dan dipenuhi, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Justeru, menurutnya, akses sejagat kepada vaksin yang mampu dimiliki, mudah diperoleh dan mencukupi untuk semua adalah penting.
Beliau berkata, kerjasama di peringkat antarabangsa amat mustahak ketika ini untuk memastikan koordinasi yang efektif dan tindak susulan terhadap usaha dan sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mempromosi dan memastikan akses global terhadap ubat-ubatan, vaksin dan peralatan perubatan bagi mengekang penularan Covid-19.
Katanya, atas semangat itulah Malaysia telah menyertai pelan kemudahan vaksin Covid-19 iaitu Vaccine Global Access (COVAX) dan bekerjasama dengan negara-negara di seluruh dunia untuk memastikan bahawa vaksin harus dijadikan sebagai barangan awam global.
"Dunia sedang menunggu dengan penuh sabar mengenai perkembangan vaksin yang selamat dan berkesan untuk mencegah Covid-19 dan beberapa negara juga telah memulakan rancangan di peringkat nasional dalam menghasilkan (vaksin) sendiri atau mengambil bahagian dalam Fasa Tiga Ujian Klinikal.
"Meskipun ini adalah sesuatu perkembangan yang positif, namun risikonya mungkin akan menyebabkan berlakunya persaingan global yang akan meningkatkan harga vaksin dan rawatan perubatan lain yang sekali gus akan mempengaruhi usaha kita ke arah keimunan global," katanya dalam ucapan perasmian pada Forum Secara Maya Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2020, bersempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia hari ini.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, kerajaan Malaysia telah mengenal pasti kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19, didapati menjejaskan lebih ramai wanita berbanding lelaki maka polisi responsif gender di bawah pakej rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) telah dilaksanakan termasuk bantuan tunai untuk ibu tunggal, subsidi penjagaan anak dan urusan kerja yang fleksibel.
"Kami juga memberi fokus untuk menangani peningkatan kes-kes jenayah kekerasan terhadap gender semasa pandemik dan mengambil langkah-langkah untuk melindungi dan menjaga golongan wanita dengan mengadakan talian bantuan, advokasi secara dalam talian, tempat perlindungan dan memberikan khidmat kaunseling.
"Kebajikan golongan migran, pelarian dan orang-orang tanpa kewarganegaraan yang ada di Malaysia juga tidak dilupakan serta diberi layanan sama rata dengan kemudahan kepada akses pemeriksaan kesihatan percuma dan rawatan perubatan berkaitan Covid-19 yang disediakan untuk semua warga negara asing, tanpa mengira status imigresen mereka," katanya.
Beliau berkata, Malaysia tetap komited untuk melaksanakan cadangan yang diterima semasa Semakan Berkala Sejagat ke-3 (UPR) pada November 2018, dan untuk tujuan ini, perundingan dwitahunan dengan pelbagai pihak, yang melibatkan semua agensi, akademik dan masyarakat sivil, telah beinstitusi.
"Daripada rundingan ini, kita menyedari bahawa perlunya untuk meningkatkan mekanisme pemantauan dan telah setuju untuk menggunakan Pangkalan Data Penjejakan Cadangan Nasional (NRTD) yang dikembangkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR), kerana akan memudahkan pemantauan dan koordinasi antara agensi.
"Perlu dimaklumkan bahawa Malaysia telah dipilih oleh OHCHR pada tahun ini, sebagai antara enam negara yang dijadikan model dalam 'Kajian Mengenai Amalan Baik dari UPR' dan melalui kajian ini, OHCHR akan menghasilkan laporan umum mengenai amalan baik melalui UPR yang akan dijadikan sebagai bahan rujukan bagi negara-negara di UPR untuk masa depan, ” katanya.
Hishammuddin berkata, sehubungan itu, Malaysia akan mengemukakan pencalonannya kepada Majlis Hak Asasi Manusia untuk penggal 2022-2024.
"Majlis Hak Asasi Manusia mewujudkan semangat multilateralisme (pelbagai hala), yang akan terus disokong oleh Malaysia dan sebagai anggota HRC, Malaysia akan bekerjasama erat dengan semua anggota untuk mencapai kemajuan dalam isu hak asasi manusia sama ada di peringkat nasional mahupun global," katanya.
Sementara itu, Penyelaras Residen PBB untuk Malaysia, Singapura dan Brunei, Stefan Priesner memuji perkembangan Malaysia baru-baru ini mengenai sistem yang berkesan untuk memantau pelaksanaan cadangan UPR.
"Saya ingin memaklumkan, komitmen Malaysia terhadap isu hak asasi manusia...PBB berbangga untuk bekerjasama dengan negara anda yang indah ini, sejak sebelum kemerdekaan lagi dan kami dengan berbesar hati untuk menyokong Malaysia dalam pelbagai usaha berkaitan hak asasi manusia.
"Kami juga mengiktiraf peranan penting Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam promosi dan melindungi hak asasi manusia dan kami bersedia untuk menyokong kerajaan dan rakan lain pada masa kini dan masa depan...dan berharap dapat memperkukuhkan lagi kerjasama dengan menandatangani Rangka Kerja Kerjasama Pembangunan Mampan PBB, secepat mungkin, ” katanya. - Bernama