LEGENDA bola sepak Itali, Paolo Rossi, 64, meninggal dunia awal pagi tadi dipercayai akibat masalah kesihatan yang dialaminya.
Berita kematian Rossi diumumkan oleh rangkaian televisyen Itali, RAI Sport awal pagi tadi sejurus kematiannya disahkan.
Pengulas RAI Sport, Enrico Varriale ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata, kematian Rossi adalah satu berita yang menyedihkan.
Menurut Varriale, kematian Rossi yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-64 dua bulan lalu nyata satu kehilangan besar dalam arena bola sepak antarabangsa.
"Rossi telah membuatkan kita semua ‘jatuh cinta’ dengan edisi Piala Dunia 1982.
"Selain itu, dia juga telah melakukan tugas dengan baik bersama kita selaku bagi mengulas perlawanan-perlawanan bola sepak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Sepanjang kariernya, Rossi telah mengecap beberapa kejayaan terutamanya membantu Itali menjulang Piala Dunia 1982 di Sepanyol setelah menewaskan Jerman Barat 3-1 di pentas final.
Edisi Piala Dunia 1982 juga pastinya mengingatkan semua peminat bola sepak di seluruh dunia pada perlawanan dramatik antara Itali dan Brazil pada saingan kalah mati yang menyaksikan Itali menang 3-2 hasil jaringan hattrik Rossi.
Kecemerlangan Rossi menyaksikannya turut memenangi Anugerah Kasut Emas selaku Penjaring Terbanyak dengan enam gol dan Anuegerah Bola Semas selaku Pemain Terbaik pada Piala Dunia berkenaan.
Kejayaan Rossi mengecap tiga anugerah melibatkan trofi Piala Dunia, Anugerah Kasut Emas dan Anugerah Bola Emas itu sekali gus telah menyamai rekod tiga pemain legenda lain seperti Garrincha dari Brazil yang melakukanya pada edisi Piala Dunia 1962, Mario Kempers (Argentinga pada 1978) dan Ronaldo pada edisi Piala Dunia 2002 lalu.
Rossi turut memiliki 48 caps dan menjaringkan 20 gol bagi skuad kebangsaan Itali dari 1977 hingga 1986.
Pemenang bagi Anugerah Ballon d'Or 1982 itu turut cemerlang membantu kelab yang diwakilinya, Juventus untuk memenangi dua gelaran Serie A musim 1981/82, 1983/84 serta Piala Eropah bagi edisi 1984/85.
Rossi turut merekodkan sejumlah 134 gol dalam 338 perlawanan ketika beraksi bersama Juventus selain AC Milan dan Verona di penghujung kariernya selaku antara salah seorang penyerang terbaik dunia pada zamannya.