IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak sedia bekerjasama dengan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad bagi mewujudkan kerajaan negeri yang lebih stabil.
Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata, kesediaannya itu sebagai satu permulaan baik kepada semua pihak terutama rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
"Kita sedia bekerjasama untuk membolehkan wujud sebuah kerajaan yang stabil, kuat demi kebaikan rakyat terutama dalam suasana kita berhadapan dengan Covid-19 dan pelbagai masalah lain yang masih kita tidak nampak jalan penyelesaiannya.
"Saya yakin dalam sejarah baru politik negara ini terutamanya di Perak, beliau (Menteri Besar) akan dapat melakukan suatu perubahan yang terbaik untuk rakyat," katanya.
Pada masa sama, Asmuni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi memohon peruntukan untuk semua ADUN termasuk pembangkang dapat dikembalikan.
"Saya juga meminta agar dikembalikan peruntukan untuk semua ADUN yang diuruskan Dewan Undangan Negeri kira-kira RM150,000 setahun.
"Selama ini ia diberikan kepada ADUN kerajaan, jadi kita meminta peruntukan itu diberikan juga kepada ADUN pembangkang supaya kita dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Lantikan tiga Menteri Besar cerminan kegagalan: Sultan Nazrin