KUALA LUMPUR - Sejumlah RM70.59 juta bayaran gaji kepada penyelidik kontrak MIMOS Berhad tidak dapat disahkan penglibatan secara langsung dalam projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) dan RMK11, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 1.
Jumlah itu merangkumi bayaran RM57.48 juta di bawah peruntukan pembangunan RMK10 dan RM13.11 juta di bawah RMK11 bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Sementara itu, laporan itu juga mendapati peruntukan pembangunan RMK10 dan RMK11 digunakan untuk membayar gaji pelatih, pembantu penyelidik di bawah terma MIMOS kontrak terbuka, 'apprentice', konsultan serta gaji pekerja/penyelidik berjumlah RM4.26 juta (RMK10) dan RM21.59 juta (RMK11).
"Namun, pembayaran gaji ini tidak dapat disahkan kerana nama-nama pelatih, pembantu penyelidik, 'apprentice', konsultan dan pekerja/penyelidik berkenaan tidak tersenarai dalam mana-mana Commitment Book (CB).
"Berdasarkan minit mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK) MOSTI, MIMOS didapati tidak pernah melaporkan secara spesifik kepada MOSTI mengenai penggunaan sebahagian peruntukan RMK10 dan RMK11 bagi tujuan perbelanjaan gaji pekerja (lantikan tetap dan kontrak) yang terselindung di bawah gaji penyelidik projek kontrak,” menurut laporan itu.
LKAN berpendapat pembayaran gaji dan bonus pekerja yang tidak sepatutnya dibayar menggunakan peruntukan pembangunan adalah tidak teratur, amalan ini menjejaskan peruntukan pembangunan RMK10 serta RMK11 bagi tujuan pelaksanaan R&D seterusnya menjejaskan pencapaian projek.
"Penggunaan peruntukan pembangunan RMK10 dan RMK11 tidak dilaksanakan dengan teratur, cekap dan berkesan kerana MIMOS tidak mengoptimum dan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang diterima mengikut tujuan yang ditetapkan.
"Di samping itu, peruntukan pembangunan juga digunakan untuk menampung perbelanjaan seperti utiliti dan tuntutan perbelanjaan,” menurut laporan itu.
Justeru bagi memastikan kelemahan yang dibangkitkan tidak berulang, LKAN mengemukakan empat syor termasuk keperluan MOSTI dan Unit Perancang Ekonomi mengkaji semula format pelaporan prestasi kewangan dan fizikal projek pembangunan Rancangan Malaysia Lima Tahun yang dibentangkan oleh MIMOS dalam mesyuarat JTPK bagi memastikan laporan memberi gambaran sebenar dan lebih telus terhadap prestasi perbelanjaan projek. - Bernama