PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola memgesahkan bintang Argentina, Sergio Aguero tidak akan diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan pada aksi derby Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Manchester United di Old Trafford awal pagi Ahad nanti.
Menurut Guardiola, biarpun penyerang kelahiran Argentina itu berjaya menjaringkan satu gol bagi membantu City menewasan Marseille 3-0 pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi, dia enggan mengambil risiko menurunkan pemain berkenaan yang baru pulih daripada kecederaan.
Bagaimanapun, menurut Guardiola, dia tetap berbangga dengan aksi yang dipamerkan Aguerro di sepanjang perlawanan berkenaan bagi membantu kejayaan pasukan.
"Dia (Aguero) sentiasa memiliki keinginan untuk menjaringkan gol, walaupun hanya sempat mengikuti tiga atau empat sesi latihan sahaja.
"Aksinya juga bagus walaupun hanya masuk sebagai pemain gantian dalam tempoh 25 terakhir.
"Aksinya itu juga boleh dikatakan sebagai proses pemulihan dirinya sendiri," katanya.
Sementara itu Guardiola menegaskan dia hanya memiliki tempoh selama dua hari bagi mempersiapkan pasukannya untuk berdepan Manchester United.
Namun katanya,perkara itu hanya akan difikirkan kemudian kerana ketika ini mereka mahu meraikan kejayaan mara ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara.
"Sekarang masanya untuk kita raikan kejayaan sebelum kembali memikirkan mengenai perlawanan ini.
"Saya juga pasti, tekanan akan lebih dirasai oleh pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer terutamanya setelah kegagalan skuad The Red Devils itu dalam saingan Liga Juara-Juara, musim ini," katanya.