SHAH ALAM - Pusat Penyelidikan Undian UCSI, UCSI University mendapati hanya 46.4 peratus daripada 1,007 responden dalam kaji selidiknya yang sanggup menjadi sebahagian daripada kumpulan perintis bagi menerima vaksin Covid-19.
UCSI dalam satu kenyataan berkata, sebaliknya sebanyak 53.6 peratus responden dalam kaji selidik itu memilih tidak ketika diajukan soalan sama.
"Keputusan ini selari dengan tahap keyakinan responden terhadap vaksin yang bakal tersedia di Malaysia tidak lama lagi di mana hampir separuh responden menunjukkan keyakinan iaitu 20.4 peratus sangat yakin dan 26.8 peratus memilih yakin,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin Covid-19 percuma kepada rakyat Malaysia: PM
6.4 juta rakyat Malaysia bakal terima vaksin Covid-19: PM
Menurut UCSI, sebanyak 15 peratus responden tidak yakin terhadap vaksin itu, manakala 9.8 peratus sangat tidak yakin dan selebihnya iaitu 27.4 peratus pula memilih untuk tidak memihak (neutral).
"Vaksin Covid-19 yang masih baharu dalam pelaksanaan dan keputusan dari negara perintis yang lain selepas melancarkan vaksin ini mungkin memberi lebih keyakinan kepada umum,” katanya.
Sementara itu, UCSI berkata, rata-rata responden juga bersetuju ekonomi dapat kembali pulih selepas vaksin Covid-19 tersedia dengan 25.9 peratus sangat yakin dan 28 peratus yakin.
"Sebanyak 22.5 peratus tidak memihak, diikuti sebanyak 15.4 peratus tidak yakin dan 8.2 peratus sangat tidak yakin bahawa ekonomi akan pulih selepas mempunyai vaksin Covid-19.
"Ini menunjukkan masyarakat umum optimis terhadap pemulihan ekonomi dengan wujudnya vaksin dan ini mungkin akan merangsang ekonomi di Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini.
Muhyiddin berkata, penghantaran bekalan pertama sebanyak satu juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun depan disusuli dengan 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta dos pada suku keempat tahun depan.
Katanya, pemerolehan bekalan daripada Pfizer itu adalah hasil perjanjian pembelian awal ditandatangani kerajaan dengan syarikat itu melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.