Pas harap pelantikan Saarani mampu stabilkan kerajaan Perak

Iklan
IDRIS AHMAD

SHAH ALAM - Pelantikan Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu hari ini diharap mampu untuk memberi kestabilan dan kesejahteraan kepada negeri berkenaan.

Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad berkata, pemilihan Saarani menerusi hasil persetujuan dan perbincangan ketiga-tiga presiden parti blok kerajaan dapat mengukuhkan lagi kerajaan negeri Perak, sekali gus menutup kemelut politik yang berlaku.

Iklan
Iklan

"Pas bersama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus bekerjasama dalam membantu kerajaan negeri demi untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat.

"Apa yang saya harapkan adalah supaya kepimpinan kerajaan negeri Perak yang baharu dapat mengambil berat hal ehwal rakyat terutama mereka yang susah,” katanya kepada media rasmi parti itu hari ini.

Iklan

Idris berkata, beliau turut berharap kerajaan baharu di Perak dapat menyelesaikan masalah pemilikan tanah kepada rakyat yang masih tidak mempunyai tapak untuk membina rumah sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Saarani angkat sumpah Menteri Besar Perak ke-14

Iklan

Menurutnya, kebanyakan rakyat di negeri itu tidak mempunyai tanah sendiri sehingga sukar untuk memberikan bantuan membina rumah.

"Mengikut pengalaman saya, ramai yang apabila kita mahu membantu untuk membina rumah melalui bantuan sama ada daripada Baitulmal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau Kementerian Luar Bandar, masalah yang dihadapi ialah mereka tidak memiliki tanah sendiri. Akhirnya tidak dapat bantu,” katanya.

Justeru, katanya, beliau sangat berharap kerajaan negeri Perak yang baharu dapat memberikan tumpuan untuk memastikan rakyat di negeri itu memiliki tapak rumah sendiri.

"Sekurang-kurangnya apabila tapak sudah, ada mereka boleh berusaha untuk membinanya,” katanya.