Gadis 'kantoi' menyamar anggota polis

Iklan
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat (tengah) menunjukkan uniform polis yang dimiliki gadis tersebut selepas sidang akhbar di IPD Bachok hari ini.

BACHOK - Tidak serik melakukan kesalahan sama kira-kira tiga tahun lalu, seorang gadis ditahan kerana menyamar sebagai anggota polis.

Helah gadis berusia 20 tahun itu terbongkar apabila dia yang berasal dari Sabah datang ke negeri ini untuk berkenalan dengan keluarga rakan lelakinya seorang anggota tentera.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, gadis itu dikatakan menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum berpindah ke rumah keluarga lelaki berkenaan Kampung Bukit Bator di sini.

Shafien Mamat

"Dia tinggal di rumah keluarga rakan lelakinya itu dan menggantung uniform polis di dalam kenderaan.

Iklan

"Lelaki itu dipercayai baru tiga bulan mengenali gadis berkenaan melalui laman sosial Facebook. Ketika berada di rumah keluarganya, ada beberapa kelakuan ganjil berlaku sehingga menimbulkan rasa kurang senang keluarga lelaki berkenaan.

"Selepas seminggu, mereka kemudian tampil membuat laporan polis," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di sini hari ini.

Iklan

Shafien berkata, gadis tersebut juga didakwa pernah menunjukkan gambar dia mengenakan uniform polis kepada rakan lelakinya itu.

"Untuk memberi lebih keyakinan kepada lelaki itu, kali ini dia turut membawa pakaian tersebut bersama," katanya.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat (tengah) menunjukkan kenderaan yang dinaiki gadis tersebut selepas sidang akhbar di IPD Bachok hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati gadis tersebut pernah melakukan kesalahan yang sama iaitu menyamar sebagai anggota polis di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada tiga tahun lalu.

"Remaja itu kini direman bermula 8 Disember dan kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 (c) Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis," katanya.

Shafien berkata, pihaknya memandang serius perbuatan tersebut kerana ia boleh mencemarkan imej anggota polis.