SEREMBAN - Mahkamah Koroner di sini menetapkan keputusan inkues remaja perempuan Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin akan diketahui pada 31 Disember ini atau 4 Januari tahun depan.
Koroner Maimoonah Aid memutuskan perkara itu pada hari terakhir prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja perempuan itu, hari ini.
Menurutnya, keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan sepanjang prosiding sejak 24 Ogos lalumembabitkan seramai 47 saksi termasuk ibu bapa remaja berkenaan, Meabh Jaseprine Quoirin dan Sebastien Quoirin adalah mencukupi.
"Ini bukan prosiding jenayah...ia adalah inkues untuk mengenal pasti punca kematian si mati. Jadi bagi saya, setakat saksi-saksi yang dipanggil dan bukti-bukti yang dikemukakan, (ia) mencukupi untuk saya membuat satu keputusan,” katanya.
Maimoonah berkata meskipun inkues berkenaan tidak mewajibkan pihak-pihak berkepentingan - pengendali inkues, The Dusun Resort dan keluarga Nora Anne - untuk memasukkan hujahan bertulis, namun mereka dibenarkan untuk berbuat demikian.
"Hujahan bertulis mesti dihantar iaitu paling lewat 24 Disember,” kata Koroner.
ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman CCTV papar Nora Anne boleh berjalan normal
Rakan bapa saudara Nora Anne terima mesej bomoh
Prosiding siasatan kes kematian remaja itu di Mahkamah Koroner, Kompleks Mahkamah Seremban, turut disiarkan secara langsung dalam talian melalui portal rasmi Badan Kehakiman Malaysia dan media sosial rasmi YouTube dan Facebook ‘The Malaysian Judiciary’ serta dijalankan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia.
Sebelum ini, seramai 64 saksi disenaraikan untuk dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, pada prosiding berkenaan, saksi ke-47, Pegawai Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Wan Faridah Mustanin memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa siasatan yang dilakukan bermula 4 hingga 14 Ogos 2019 mendapati tiada elemen jenayah yang boleh dikaitkan dalam kes kematian Nora Anne.
Wan Faridah, 30, yang merupakan saksi terakhir pada prosiding yang memasuki hari ke-24 itu berkata, sepanjang siasatan, beliau turut dimaklumkan oleh ibu Nora Anne, Meabh bahawa anak perempuannya itu berkemungkinan mengalami kekeliruan ketika berada di tempat baharu.
Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazali Omar yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues apakah kemungkinan yang boleh berlaku dalam keadaan keliru itu, saksi berkata:"Ada kemungkinan orang hilang pada bila-bila masa, bangun dari tidur mungkin hendak ke tandas dan agak keliru di kawasan (rumah) Sora House yang baharu dan telah keluar sendiri dari rumah Sora House.”
Nora Anne, 15, didapati hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan Kuala Lumpur.
Pada 13 Ogos iaitu 10 hari selepas Nora Anne dilaporkan hilang, mayatnya ditemukan berhampiran sebatang anak sungai di sebuah lurah yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari pusat peranginan di mana dia dan keluarganya menetap, susulan operasi pencarian besar-besaran oleh pihak berwajib.
Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja itu, yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya, tidak mempunyai unsur jenayah dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan usus yang disebabkan kebuluran serta tekanan berpanjangan. -Bernama