JOHOR BAHRU - Polis Johor melakukan 93 serbuan di premis hiburan dan kelab malam bermula 1 November sehingga 9 Disember lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 407 ditangkap kerana didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Kelab malam masih lagi beroperasi dan kita akan terus melakukan operasi di seluruh negeri. Saya yakin masih ada melanggar syarat atau dibenarkan beroperasi tetapi melanggar syarat.
"Pada dua tiga hari lepas kita ada buat serbuan. Memang ada benda ini berlaku, sebab itu kita selalu buat operasi berterusan," katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan pematuhan SOP di Pasar Borong Pandan di sini hari ini.
Sementara itu, Ayob Khan berkata, pihaknya telah mengeluarkan 4,869 kompaun terhadap individu yang melanggar SOP pematuhan PKPP dan PKPB di negeri ini.
Menurutnya, pihak polis akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ekoran pertambahan jumlah jangkitan Covid-19 di Johor sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, peningkatan kes positif amat membimbangkan ketika ini khususnya di daerah ini.
Katanya, meskipun kes jangkitan Covid-19 di Johor mencecah tiga angka, masih terdapat pihak melanggar SOP termasuk berfoya-foya di kelab malam.
"Seperti semalam terdapat 100 kes Covid-19, oleh itu kita akan meningkatkan pemantauan dan pematuhan SOP bersama dengan agensi lain," katanya.