PASIR GUDANG - Penderitaan dialami seorang pelajar Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), Muhammad Israf Izzuddin Arbain, 19, yang tidak mampu bergerak selepas menjadi mangsa langgar lari mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor hari ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail berkata, JKM Johor akan menyalurkan bantuan bersesuaian dengan keperluan Muhammad Israf dan keluarga pelajar terbabit.
Menurutnya, antara bantuan yang boleh disediakan iaitu kos keperluan susu khas dan elaun kepada ibunya bagi menjaga anaknya yang kini hanya terlantar atas katil.
"JKM juga akan membantu membuat kad orang kurang upaya (OKU) kepada Muhammad Israf.
"Kami meminta agar ibu bapanya melengkapkan borong yang berkenaan untuk JKM proses dengan kadar segera dalam tempoh sebulan," katanya ditemui pemberita selepas melawat penuntut berkenaan di Taman Cahaya Masai di sini hari ini.
Kisah Muhammad Israf yang merupakan penuntut KYPJ Kulai hanya terlantar akibat menjadi mangsa langgar lari dalam kemalangan di Desa Rakyat di sini pada 3 November lalu, disiarkan Sinar Harian pada 8 Disember lalu.
Kemalangan pada jam 12 tengah malam itu berlaku semasa sebuah kereta dipandu seorang lelaki tiba-tiba membelok ke kanan sebelum merempuh Muhammad Israf yang menunggang motosikal.
Insiden itu mengakibatkan kaki dan pahanya patah selain mengalami kecederaan serius pada tempurung kepala anak sulung daripada dua beradik itu sehingga terpaksa dibuang dan ingatan hampir hilang sepenuhnya.
Sementara itu, bapanya, Arbain Ramli, 48, bersyukur nasib anaknya mendapat perhatian pihak berwajib.
"Ini kerana kos untuk menyediakan susu khas, lampin pakai buang dan keperluan untuk penjagaan Muhammad Israf membabitkan kos tinggi hampir RM2,000 sebulan," katanya.
Menurutnya, keluarganya berasa terbeban kerana hanya bergantung pada pendapatannya sekitar RM2,500 sebulan sebagai pemandu lori.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemandu kereta berusia 30-an yang melanggar anaknya telah membuat laporan polis pada Ahad lalu
"Saya menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya berkenaan kes itu, walaupun saya terkilan dengan sikap pemandu kereta itu yang tidak tampil selepas kejadian menimpa Israf," katanya.