Ahli politik perlu hayati titah Sultan Nazrin: Pakar perlembagaan

Iklan
Hantaran Facebook Shamrahayu.

SHAH ALAM - Semua ahli politik perlu menghayati titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya melaksanakan sebaiknya amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin yang dipilih rakyat.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, meskipun titah baginda itu ditujukan kepada rakyat Perak, namun peringatan tersebut menepati kedudukan dan keadaan semasa politik sama ada di negeri lain atau di peringkat Persekutuan.

Iklan
Iklan

"Secara peribadi saya amat tersentuh dengan isi titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak sempena istiadat angkat sumpah Menteri Besar Perak. Pada saya, ia penuh syahdu untuk didengari dan dihayati.

"Titah tersebut bukan semata-mata nasihat tetapi adalah suatu peringatan yang hendaklah diambil perhatian dan dipatuhi oleh setiap kita, terutamanya pimpinan politik yang diberikan kepercayaan oleh rakyat

Iklan

"Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli politik untuk membolehkan fikiran dan tenaga digunakan demi kepentingan rakyat juga suatu yang amat serius," katanya menerusi hantaran di Facebooknya semalam.

Sementara itu, menyentuh titah baginda mengenai tiga kali istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar dilakukan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Shamrahayu berkata, ia jelas memperlihatkan kerajaan yang dibentuk sebelum ini tidak stabil.

Iklan

"Baginda bertitah tentang pentingnya pemimpin yang dipilih menumpukan fikiran dan tenaga untuk melaksanakan pimpinan serta pentadbiran negeri dengan baik dan tidak mengabaikan amanah," katanya.

Katanya lagi, titah nasihat baginda itu hendaklah dipatuhi oleh pimpinan kerana setiap ahli Dewan dipilih atas kepercayaan rakyat.

Krisis pentadbiran di Perak bermula Jumaat lalu apabila usul undi percaya yang dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Manaf Hashim menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memperoleh sokongan 10 undi, 48 undi menolak, manakala satu berkecuali.

Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang kemudian melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perak sekali gus menyaksikan peralihan kuasa kerajaan negeri dan kedudukan kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak gugur secara automatik.

Kemelut itu berakhir apabila Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangar semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Lantikan tiga Menteri Besar cerminan kegagalan: Sultan Nazrin

Saarani angkat sumpah Menteri Besar Perak ke-14