KOTA KINABALU – Dua maut membabitkan seorang pejalan kaki dan pemandu kereta dalam kemalangan berasingan di Beaufort dan Likas dekat sini.
Dalam kejadian di Beaufort, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan secara tiba-tiba di Kampung Selagon 2, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abd Razak berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Nuraizat Syah Danish Royhaizzath, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Beaufort.
Katanya kereta yang melanggar mangsa dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun yang ketika kejadian dalam perjalanan dari Kampung Pintas ke Pekan Beaufort.
Apabila tiba di tempat kejadian, kanak-kanak lelaki itu dikatakan melintas jalan secara tiba-tiba dan pemandu kereta itu tidak sempat mengelak, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala, akibat digilis tayar kiri kereta tersebut.
Sementara itu di bulatan, berhampiran Masjid Likas di sini, seorang lelaki dikenali sebagai Andy Mahaga Sipawi, 23, maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok, awal pagi hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dalam satu kenyataan berkata panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 2.13 pagi.
Menurut kenyataan itu anggota bomba pergi ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta dan berjaya dikeluarkan 34 minit kemudian.
Ketika itu mangsa didapati telah meninggal dunia. - Bernama