Belanjawan Perlis 2021 diluluskan sebulat suara

Iklan
Azlan

KANGAR - [DIKEMASKINI] Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan Perlis 2021 berjumlah RM108.17 juta.

Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2021 dan Anggaran Pembangunan Negeri Perlis 2021 diluluskan selepas dibahaskan selama tiga hari.

Iklan
Iklan

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang membentangkan belanjawan itu pada Selasa (8 Disember) berkata, ia adalah pertama kali dalam sejarah negeri ini, pembentangan Belanjawan Perlis diluluskan dengan mendapat sokongan penuh termasuk wakil rakyat pembangkang.

"Menyediakan belanjawan adalah sesuatu yang mencabar apabila defisitnya meningkat dengan lebih besar disebabkan oleh ‘kekejaman’ Covid-19 dan impaknya kepada ekonomi negeri.

Iklan

"Kekurangan (defisit) sebanyak RM67.52 juta itu bersifat mengembang untuk memberi yang terbaik kepada rakyat dalam usaha melangkah ke arah misi Wawasan Perlis Negeri Bandaraya 2030,” katanya ketika sesi pengulungan pembentangan Belajawan Perlis 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Azlan (BN-Bintong) berkata, empat teras dalam Belanjawan Perlis 2021 iaitu pelaksanaan pembangunan, kebajikan masyarakat, masyarakat harmoni dan keberkesanan pentadbiran adalah selaras dengan tema belanjawan itu sendiri.

Iklan

Beliau berkata, antara aspek yang perlu dipertingkatkan adalah aspek penguatkuasaan dalam pentadbiran kerajaan.

"Saya bersetuju bahawa aspek penguatkuasaan itu perlu diperkuatkan supaya menjadi teratur bagi mewujudkan masyarakat harmoni iaitu masyarakat yang memahami dan mematuhi peraturan,” katanya.

Terdahulu, Exco Prasarana dan Kemudahan Awam negeri, Hamizan Hassan memberitahu dewan, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM40.7 juta secara geran kepada Perlis di bawah Projek Cadangan Langkah Mitigasi Jangka Pendek bagi memulihkan masalah air di negeri itu.

Beliau berkata, projek itu telah dimulakan sejak awal Januari tahun ini dan dijangka siap akhir Ogos 2021.

Hamizan (BN-Kayang) berkata, tiga skop projek ini merangkumi penambahbaikan fasiliti loji serta sistem pengepaman di Loji Rawatan Air Arau Fasa 1, 2, 3 dan 4 yang terletak di Kampung Sena dan penambahan package plant berkapasiti 40 juta liter air sehari di Loji Rawatan Air Timah Tasoh.

"Dengan pelaksanaan projek ini dijangkakan keupayaan pembekalan air domestik kepada pengguna ditingkatkan serta mutu kualiti air dapat dibekalkan dengan baik dan terjamin,” katanya menjawab soalan dikemukakan oleh Gan Ay Ling (PKR-Indera Kayangan) pada persidangan itu.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan RM105.6 juta secara pinjaman kepada Kerajaan Perlis bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran bekalan air di negeri ini melalui program mitigasi jangka sederhana.

"Daripada jumlah itu, RM54 juta untuk Program Peningkatan Bekalan Air Terawat di Loji Rawatan Air Timah Tasoh, RM28 juta menaik taraf Loji Rawatan Air Arau Fasa 4 serta menaik taraf Pam Air Mentah dan Pam Air Bersih Tekanan Tinggi di Loji Air Arau Fasa 1, 2, 3 dan Guar Sanji sebanyak RM23.6 juta,” katanya.

Katanya, projek itu telah bermula sejak Februari tahun ini dan dijangka siap pada Mac 2024.

Persidangan dewan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Bercakap kepada pemberita di luar dewan selepas sesi pengulungan pembentangan Belanjawan Perlis 2021, Azlan berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan peruntukan sejumlah yang tertentu yang ditetapkan secara pentadbiran kepada tiga ADUN pembangkang yang terdiri daripada parti PKR.

"Jumlah yang akan diberikan adalah munasabah dalam memastikan bahawa rakyat di bawah kawasan ADUN terbabit iaitu Kuala Perlis, Sena dan Indera Kayangan turut mendapat manfaat daripada kerajaan,” katanya.

Tiga wakil rakyat pembangkang ialah Asrul Nizan Abd Jalil (Sena), Gan Ay Ling (Indera Kayangan) dan Nor Azam Karap (Kuala Perlis).

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Asrul Nizan berkata, beliau turut mengalu-alukan peruntukan yang disediakan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat.

"Peruntukan tersebut telah dijanjikan namun jumlahnya belum dimaklumkan dan saya yakin ia suatu jumlah yang munasabah,” katanya. - Bernama