KUANTAN - Seorang lelaki warga emas yang kurang upaya (OKU) maut dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Ubai, Jalan Kuantan-Pekan di sini pagi tadi.
Mangsa, Mohd Lazim Mat Nor, 63, dipercayai terperangkap di dalam bilik tidur sebelum jasadnya ditemui selepas api berjaya dipadamkan.
Ketika kejadian, mangsa dipercayai tinggal bersendirian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 10.30 pagi.
Susulan itu, beliau berkata, seramai 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu, Pekan bersama tiga jentera pemadam kebakaran dikerah ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman dan penyelamatan.
"Tindakan operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula dan satu aliran hos dari tangki pam jentera.
"Hasil pemeriksaan mendapati seorang mangsa terperangkap di dalam rumah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya di sini hari ini.
Ismail berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.