Rakyat Malaysia mahu vaksin diwajibkan

Iklan
Tinjauan melibatkan 20,009 responden di 22 buah negara.

KUALA LUMPUR - Berbanding masyarakat di negara lain, rakyat Malaysia hampir sebulat suara percaya bahawa suntikan vaksin untuk penyakit berjangkit harus diwajibkan kepada semua orang mengikut satu tinjauan.

Menurut IPSOS, sebuah syarikat penyelidikan pasaran, 86 peratus rakyat Malaysia yang terlibat dalam tinjauan itu sangat bersetuju bahawa vaksinasi terhadap penyakit berjangkit yang serius harus diwajibkan, sementara rakyat Rusia mencatatkan hanya 44 peratus, Amerika Syarikat (50 peratus), Jepun (52 peratus) dan skor global (64 peratus).

Iklan
Iklan

Tinjauan berkenaan melibatkan 20,009 responden di 22 buah negara dijalankan antara 25 September dan 9 Oktober lalu melalui sistem panel dalam talian syarikat itu.

Pengurus Kanan Hal Ehwal Awam IPSOS Malaysia, Lars Erik Lie berkata, pandemik Covid-19 telah menjadi ujian yang berat bagi sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia dan sistem penjagaan kesihatan di Malaysia adalah jauh lebih baik daripada negara-negara lain.

Iklan

Katanya, tinjauan itu juga mendapati bahawa rakyat Malaysia kini lebih mengambil berat terhadap penjagaan kesihatan berbanding dua tahun lalu kerana tiga daripada empat rakyat Malaysia percaya bahawa sistem penjagaan kesihatan di negara ini dapat memberikan mereka rawatan terbaik.

"Sebanyak 75 peratus rakyat Malaysia yang terlibat dalam tinjauan itu percaya sistem penjagaan kesihatan mampu memberi rawatan terbaik berbanding hanya 63 peratus pada tahun 2018," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Iklan

Di seluruh dunia hanya separuh daripada orang beranggapan bahawa sistem penjagaan kesihatan negara mereka adalah baik sementara rakyat Malaysia mempunyai pendapat yang lebih tinggi mengenai penjagaan kesihatan di negara ini yang disokong oleh kepercayaan majoriti bahawa standard tinggi disediakan secara sama rata untuk semua orang, menurut tinjauan itu. - Bernama