KOTA BHARU - Seorang lelaki bergelar ustaz ditahan polis hari ini kerana disyaki mencabul pesakitnya ketika berubat.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Abdul Rahim berkata, pada 5 September lalu, mangsa juga seorang guru perempuan berusia 43 tahun difahamkan telah pergi ke rumah ustaz berkenaan di Kampung Bechah Mulong bagi mengubat sakit lenguh badan.
Menurutnya, mangsa mendakwa telah diberitahu oleh suspek bahawa kemungkinan dia terkena buatan orang.
Katanya, keesokan harinya lebih kurang jam 2.30 petang, mangsa berseorangan telah pergi ke pejabat suspek di Kota Bharu.
"Semasa berada di pejabat tersebut, suspek didakwa bertindak mencabul mangsa. Mangsa yang ketakutan telah keluar dari pejabat suspek dan memberitahu suaminya tentang kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Abdul Rahim berkata, terdahulu pada awal pada awal tahun ini, mangsa bersama suaminya berjumpa dengan suspek bagi mengubati sakit badan setelah diberitahu oleh rakannya mengenai rawatan tradisional yang dibuat oleh ustaz berkenaan.
"Semasa kejadian di pejabat suspek, mangsa berseorangan bersama suspek. Menurut mangsa semasa proses rawatan, suspek bertindak memegang payudara serta meraba kemaluannya.
"Mangsa telah menceritakan kejadian kepada suaminya setelah melihat mangsa dalam keadaan kemurungan selepas kejadian,” katanya.