Takdir politik Cikgu Saarani

Iklan
Pelantikan Saarani sebagai Menteri Besar ke-14 memberi kelegaan kepada rakyat Perak.

PADA saat rakyat Perak bersyukur dengan pelantikan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak ke-14 semalam, sebenarnya terselit satu kisah sedih terpaksa dilalui pemimpin tabah berkenaan pada tahun 2018.

Dilahirkan pada 13 Mac 1961 di Kampung Raban, Lenggong, pastinya ramai tidak menyangka tokoh politik yang menyertai UMNO sejak tahun 1989 itu, sebenarnya hampir berputus asa dengan dunia politik.

Iklan
Iklan

Sejurus selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Saarani, 59, yang merupakan Timbalan Pengerusi UMNO Perak ketika itu, termenung memikirkan punca kekalahan parti itu di Perak.

"Mungkin sampai masa ALLAH SWT takdirkan saya bermain dengan cucu," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu kepada pemimpin akar umbi UMNO Bahagian Lenggong, susulan mengetahui keputusan PRU14 di Perak dan pusat.

Iklan

Bagi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Lenggong, Mohd Zuraidi Ahmad Daud, beliau amat memahami kekecewaan besar dirasakan Saarani yang juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia daripada Open University Malaysia (OUM), ketika itu.

Mohd Zuraidi Ahmad Daud

"Kami menyaksikan sendiri 'bos' kami, Tok Saarani berada dalam keadaan paling sedih setelah mendapat tahu kerajaan Perak akhirnya jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).

Iklan

"Ramai tidak mengetahui Tok Saarani individu sebenar paling bekerja keras merencana politik UMNO di Perak meskipun kerajaan dipimpin Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (bekas Menteri Besar). Jadi, kekalahan BN pada PRU14 pastinya satu tamparan hebat kepada beliau," katanya sewaktu berkongsi pengalaman beliau bersama Saarani kepada Sinar Harian di sini semalam.

Bagaimanapun, Saarani yang juga Ketua UMNO Bahagian Lenggong bukanlah seorang pemimpin yang mudah patah semangat.

Memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1982 setelah menamatkan pengajian Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) di Universiti Teknologi Malaysia, bapa kepada lapan anak itu dengan hati terbuka menerima cabaran pelantikan sebagai Pengerusi UMNO Perak bagi menggantikan Zambry.

"Menyedari tiada siapa yang berkeupayaan mengemudi UMNO Perak saat parti itu jatuh, beliau mengambil risiko besar untuk mengambil alih tanggungjawab besar itu.

"Secara peribadi, dengan apa berlaku hari ini, saya menganggap usaha keras beliau untuk memartabatkan kembali UMNO pada mata masyarakat Perak sehingga tertubuhnya kerajaan baharu adalah amat berbaloi," ujar Mohd Zuraidi lagi.

Hakikat itu diakui ADUN Alor Pongsu daripada UMNO, Datuk Sham Mat Sahat yang menyifatkan Saarani merupakan seorang pemimpin yang begitu tekun dan berhemah tinggi dalam menunaikan setiap amanah diberikan kepada beliau.

Sham Mat Sahat

"Saya yakin dengan pengalaman luas beliau menjadi ADUN dan Exco sejak lima penggal pilihan raya lalu, Datuk Saarani pastinya dapat menerajui kerajaan dengan sempurna," katanya.

Dari segi kualiti kepimpinan, Sham mendedahkan Saarani adalah pemimpin yang sentiasa mengambil berat atas pandangan setiap pihak dan amat berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan penting, sama ada di peringkat kerajaan dan parti.

"Ada kata beliau (Saarani) sombong, hakikat sebenar beliau seorang sangat mudah didekati, suka membantu dan mudah mesra dengan rakyat di setiap lapisan.

"Mungkin sebab itu beliau tidak pernah kalah di DUN Kota Tampan sejak lima penggal lalu,"ujar Sham.

Sementara tu, Zambry yang juga ADUN Pangkor amat yakin dengan kemampuan Saarani menjadi Menteri Besar Perak yang baharu berdasarkan pengalaman pentadbiran kerajaan BN dipimpin beliau sebelum ini.

Zambry Abd KAdir

"Sebagai Exco terkanan dalam kerajaan BN dipimpin saya, Saarani sememangnya sangat dihormati rakan dan seteru politik atas ketegasan beliau dalam melaksanakan amanah," katanya.

Pernah menjadi Setiausaha Sulit Kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pada awal pembabitan politik, Saarani juga memegang beberapa portfolio Exco Kerajaan Negeri; antaranya Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Perladangan; Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Modal Insan dan kali terakhir, Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

Saarani sebenarnya turut dilantik sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak sewaktu pentadbiran kerajaan PH, namun status itu tidak lama apabila PH tumbang dan digantikan kerajaan PN terdiri UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada Mac lalu.

Pelantikan Saarani mengisi senarai Menteri Besar Perak bersama 11 yang lain iaitu Datuk Seri Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz (1948-1957), Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi (1957-1960), Datuk Seri Shaari Shafie (1960-1964) dan Datuk Seri Ahmad Said (1964-1970).

Pelantikan Saarani sebagai Menteri Besar ke-14 yang mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ternyata memberi kelegaan kepada rakyat negeri itu.

Datuk Seri Kamaruddin Mohd Isa (1970-1974), sebelum Mohamed Ghazali sekali lagi dilantik selama empat tahun dari 1974 hingga 1977, Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh (1977-1983), Tan Sri Ramli Ngah Talib (1983-1999), Tan Sri Mohd Tajol Rosli Mohd Ghazali (1999-2008), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (2008-2009) dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (2009-2018).

Selepas PRU14, ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang merupakan Timbalan Presiden Bersatu dilantik Menteri Besar Perak ke-12 sebelum meletak jawatan pada 9 Mac 2020 susulan penjajaran politik baharu.

Ahmad Faizal kemudian dilantik semula menjadi Menteri Besar Perak ke-13 dengan memimpin kerajaan PN sebelum meletak jawatan pada 5 Disember lalu.

Senarai Menteri Besar Perak