KUALA LUMPUR - Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) melakar kejayaan terbaharu apabila berjaya menghasilkan empat Teknologi Kit Pengesanan MARDIsense yang berupaya mengesan kandungan berbahaya dalam sumber makanan dengan lebih pantas.
Kit pengesanan pantas itu ialah Antibiotic Sensor Kit, Algae Bloom Biotoxin Sensor Kit, Malachite Green Sensor Kit dan Foodborne Pathogen Test Kit yang dicipta berasaskan teknologi biosensor serta lateral flow.
Kesemua kit pengesanan itu dilancarkan sempena persidangan National Conference on Precision Biotechnology In Agriculture (NCPBA) 2020 yang diadakan secara webinar semalam.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penemuan hasil kajian selama lima tahun itu menjadi penemuan yang besar dicapai MARDI kerana mampu dimanfaatkan bukan hanya pada peringkat nasional, malah global.
Menurutnya, perkembangan itu juga diyakini mampu menjadikan MARDI sebagai entiti yang akan terus bergerak ke arah penemuan untuk manfaat aspek keselamatan makanan khususnya.
"Empat penemuan ini akan memberi manfaat kepada bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi masyarakat dunia keseluruhannya yang prihatin tentang keselamatan makanan.
"Pemantauan dan penilaian aktiviti kawalan keselamatan makanan bagi mencegah, mengesan serta menguruskan risiko penyakit bawaan makanan dapat dipermudahkan dengan adanya teknologi pengesanan pantas pencemaran bakteria melalui inovasi MARDI.
"Ia membuktikan bahawa MARDI sentiasa ke hadapan dalam menghasilkan inovasi terkini melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan, sesuai dengan tagline ‘From Lab To Table’ atau ‘Dari Makmal ke Meja Hidangan’,” katanya pada Perasmian NCPBA 2020 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini semalam.
Persidangan bertemakan ‘Navigating The Present, Shaping The Future’ itu merupakan platform bagi institusi penyelidikan, universiti, pembuat dasar dan pihak berkepentingan yang berkaitan dengan agrobioteknologi untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka demi pembangunan industri bioteknologi yang lebih dinamik dan cemerlang.