KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui pasukan Skuad PTPTN Prihatin turun padang melawat keluarga Allahyarham Rosni Abd Razak yang terkorban dalam kemalangan pada 28 November lalu.
Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan menyampaikan zakat perniagaan PTPTN sebanyak RM6,000 dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada enam anak mangsa yang berusia antara 13 tahun sehingga 25 tahun.
Menurutnya, beliau mewakili PTPTN menzahirkan ucapan takziah ke atas keluarga mangsa yang kini berada di rumah nenek mereka di Batu 18, Hulu Langat.
"Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Harapan kami, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan menjamin masa depan pendidikan mereka."
Apatah lagi, anak-anaknya kini telah hilang tempat bergantung kerana sebelum ini dijaga oleh ibunya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
PTPTN juga memaklumkan Skuad PTPTN Prihatin turut melawat keluarga Mohd Khairulnizam Rosli dan isteri, Zuliani Zolkefli yang hilang tempat berteduh akibat kebakaran yang berlaku pada 28 November lalu.
Dalam kunjungan pada Ahad lalu, keluarga berkenaan telah menerima zakat perniagaan sebanyak RM5,000 dalam bentuk akaun SSPN-i ke atas dua anak yang berusia enam dan lapan tahun.
Wan Saiful berkata, PTPTN memahami kesusahan dan bersimpati dengan nasib mereka yang ditimpa musibah.
"Sumbangan yang dihulurkan ini diharap dapat membantu mereka meneruskan kehidupan seharian.
"Peranan PTPTN bukan sekadar menyumbang dalam aspek pembangunan pendidikan, tetapi PTPTN juga sentiasa proaktif dalam misi menunaikan tanggungjawab sosial membantu masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang,” katanya.