WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan semalam bahawa Maghribi kini menjadi negara Arab keempat menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
Trump dilaporkan membuat ciapan di Twitter dengan menyatakan Israel dan negara beraja Maghribi bersetuju mewujudkan hubungan diplomatik. Presiden AS itu menyatakan hubungan diplomatik tersebut merupakan satu kejayaan cemerlang untuk keamanan di Asia Barat.
Menurut Rumah Putih, Trump dan pemerintah Maghribi, Raja Mohammed VI masing-masing telah bercakap melalui telefon.
Dalam perbualan itu, pemimpin Maghribi tersebut bersetuju untuk menyambung hubungan diplomatik dengan Israel dan melebarkan kerjasama kebudayaan serta ekonomi bagi meningkatkan kestabilan serantau.
Presiden AS itu juga mengiktiraf kedaulatan Maghribi ke atas keseluruhan wilayah Sahara Barat, kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.
Trump yang dijangka meninggalkan Rumah Putih pada 20 Januari tahun depan di tengah-tengah kegagalannya untuk mengubah keputusan pilihan raya Presiden AS telah mencipta sejarah kerana merapatkan hubungan antara negara Arab dan Israel.
Dalam pilihan raya itu, Trump daripada parti Republikan tewas kepada bekas Naib Presiden AS, Joe Biden yang mewakili parti Demokrat.
Menantu Trump, Jared Kusher yang juga penasihat kanan Presiden AS itu berkata, Maghribi dan Israel masing-masing akan membuka pejabat perhubungan di Rabat dan Tel Aviv.
Sebelum ini, Maghribi menutup pejabat perhubungan itu pada tahun 2000 berikutan kebangkitan penduduk Palestin yang kedua menentang pencerobohan rejim Zionis dan dikenali sebagai intifada.
Sebelum ini, negara itu telah mempunyai pejabat perhubungan di Israel pada tahun 1990-an. Keputusan normalisasi ini menjadikan Maghribi menyertai Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menjalin hubungan dengan Israel.
Pada Oktober lalu, Trump mengumumkan Sudan bersetuju menjalin hubungan dengan Israel. Mesir dan Jordan merupakan negara Arab paling awal menjalin hubungan dengan Israel.
Hubungan diplomatik itu yang menyaksikan AS menjadi perantara membolehkan Petdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melemahkan dunia Arab yang sebelum ini bersatu dalam memperjuangkan negara Palestin.
Maghribi berkongsi kebimbangan negara-negara Teluk mengenai isu Iran dan pada tahun 2018, ia telah memutuskan hubungan dengan negara tersebut kerana ia menyokong pergerakan Polisario di Sahara Barat. Namun, Teheran menafikan dakwaan tersebut.
Pergerakan Polisario yang didakwa mendapat sokongan Algeria menuntut Sahara Barat iaitu bekas koloni Sepanyol yang statusnya menjadi pertikaian sejak empat dekad lalu.
Dalam pada itu, pasukan Biden enggan memberikan sebarang komen berhubung hubungan antara Maghribi dengan Israel. - AFP