Pengajaran dalam talian dan semuka perlu digabung

Iklan
Abdullah Bukhari (kiri) ketika mengupas isu pada Wacana al-Quran bertajuk Kelas Online: Makin Mudahkah Kerja Guru? semalam.

SHAH ALAM - Kaedah pengajaran secara secara dalam talian yang sedang diadaptasi susulan pandemik Covid-19 tidak boleh menggantikan sepenuhnya kaedah pengajaran secara bersemuka (offline).

Pendakwah Malaysia yang juga Presiden Murshid Multaqa Asatizah, Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim tidak bersetuju pengajaran berasaskan teknologi itu digunakan secara total dengan meninggalkan terus kaedah pengajaran konvensional walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau pandemik berakhir.

Iklan
Iklan

Beliau sebaliknya berkata, cara terbaik ialah dengan menggabungkan kedua-dua kaedah pengajaran tersebut.

"Saya berpendapat kena ada campuran kedua-dua kaedah pengajaran itu. Jika kita buang satu dan ambil 100 peratus yang satu lagi, kita bimbang satu hari nanti pena konvensional (pengajaran biasa, bersemuka dan menulis di buku, papan putih atau hitam) yang dipakai sebelum ini akan pupus.

Iklan

"Mungkin anak-anak kita juga tidak akan mengetahui penggunaan kalam atau pena ini," katanya pada Wacana al-Quran bertajuk Kelas Online: Makin Mudahkah Kerja Guru? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf, di sini, semalam.

Wacana turut menampilkan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia, Hassan Nudin A Hamid sebagai panelis, sementara Fazrul Ismail selaku moderator dan qari, Ustaz Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah al-Alaq ayat 1 hingga 8.

Iklan
Hasan

Abdullah Bukhari berkata, mengambil contoh kisah Rasulullah bertalaqqi (bersemuka) dengan Malaikat Jibril, ia menunjukkan bahawa aspek perbincangan atau pengajaran secara berdepan tidak dapat ditandingi dengan apa kaedah sekalipun.

Beliau berkata, itu menunjukkan bahawa kaedah bertalaqi perlu ada sebab sentuhan manusia ini berbeza dengan sentuhan mesin atau peranti.

"Jika pengajaran online, anak-anak duduk depan komputer dan guru-guru juga sama, kadangkala skrin itu ada had tertentu.

"Tetapi jika duduk depan bersemuka, guru-guru boleh melihat anak-anak muridnya sama ada sudah bosan atau ada masalah.

"Maksudnya di sini, sentuhan fizikal itu tidak boleh ditandingi dengan teknologi tapi apa yang penting kena lengkap melengkapi antara satu sama lain. Kena ada campuran kedua-dua kaedah itu baru ada sentuhan manusia dalam pengajaran tersebut," katanya.

Sementara itu, Hassan Nudin juga berpendapat pendidikan secara bersemuka adalah lebih baik berbanding pendidikan secara dalam talian kerana pengajaran bersemuka memudahkan guru-guru melihat tingkah laku, reaksi, mata anak-anak murid serta memberi bimbingan secara berdepan kepada mereka dan itu sentuhan-sentuhan yang boleh menimbulkan rasa keseronokan belajar.

Menurutnya, pelaksanaan pendidikan dalam talian pula dilihat sebagai cabaran baharu kepada guru-guru kerana hanya boleh melihat anak-anak murid di paparan skrin, perlu bercakap seorang diri dan murid mendengar, jadi bagaimana hendak mengawal murid-murid?

"Jadi saya melihat pendidikan dalam talian secara total buat masa ini belum perlu kerana percaya pendidikan secara bersemuka itu lebih penting dan berkesan untuk kita menanamkan nilai-nilai kepada anak-anak murid.

"Bagaimanapun, pendidikan dalam talian dan bersemuka boleh dilaksanakan secara bersama kerana teknologi tidak boleh ditinggalkan. Jadikan ia sebagai satu 'compliment'," katanya.