Kaji semula cukai ke atas peranti rokok elektronik dan cecair vape

Iklan
Kenaikan harga peranti dan produk vape akan mendorong pengguna kembali kepada tabiat merokok.

KUALA LUMPUR - Kerajaan didesak mengkaji semula cukai ke atas vape, peranti rokok elektronik dan cecair vape seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz pada 6 November lalu.

Sebuah organisasi, Harm Awareness Association (HRA) berpendapat bahawa duti eksais 10 peratus ke atas semua jenis peranti elektronik serta 40 sen setiap mililiter untuk cecair yang digunakan dalam rokok elektronik akan menjadikannya jauh lebih mahal.

Iklan
Iklan

Menurut HRA, ia merupakan satu tamparan hebat buat pengguna dan pengusaha industri vape tempatan di kala situasi ekonomi yang terjejas teruk ekoran penularan wabak Covid-19.

"Sebarang kenaikan harga peranti dan produk vape yang merupakan alternatif kepada tabiat merokok kemungkinan besar akan mendorong pengguna produk vape untuk kembali kepada tabiat merokok.

Iklan

"Oleh kerana pengguna vape kebanyakkan sensitif kepada harga, mereka akan lebih cenderung untuk membeli rokok kontraban yang lebih murah,” kata HRA dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga hari ini, seramai lebih daripada 10,000 rakyat Malaysia telah menandatangani petisyen melalui Change.org agar kerajaan mempertimbangkan semula pengenaan cukai pada peranti dan cecair vape di Malaysia.

Iklan

Sementara itu, Presiden MOVE di bawah program HRA, Samsul Kamal Arrifin berkata, mereka tidak bersetuju dengan usul tersebut setelah mengkaji dengan lebih terperinci mengenai cadangan kerajaan tersebut, juga berbincang dengan industri dan mengumpulkan input orang ramai melalui petisyen.

"Walaupun kami telah mengatakan sebelum ini bahawa cukai yang dicadangkan ke atas cecair vape mengelirukan, kami juga percaya bahawa cukai yang dicadangkan pada peranti adalah langkah yang tidak produktif yang akan menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan awam kerana ia menghalang perokok dewasa daripada beralih kepada alternatif yang kurang berbahaya,” katanya.

Katanya, mereka menyedari bahawa terdapat keperluan untuk kerajaan menjana lebih banyak hasil tetapi ia tidak sepatutnya dilakukan dengan melulu tanpa membuat kajian serta perbincangan dengan semua pihak.

Tegasnya lagi, usulan yang dibuat secara terang dilaksanakan tanpa rundingan bersama kumpulan pengguna Malaysia dan juga pihak industri.

"Tindakan drastik kerajaan akan melumpuhkan industri vape dan ramai pengusaha yang akan gulung tikar jika cukai ini dilaksanakan pada tahun 2021. Pengenaan cukai perlu datang bersama-sama dengan peraturan yang menyeluruh dan input dari pelbagai pihak termasuk industri untuk membendung perdagangan haram dan memastikan keselamatan semua pengguna Malaysia,” katanya.