Kes Covid-19 naik mendadak di Pahang

Iklan
Pembukaan Stadium Tertutup Sukpa bermula semalam bagi menempatkan pesakit Covid-19 yang disaring di Amber Court, Bentong yang telah diwartakan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bagi membendung penularan wabak Covid-19. Foto Bernama

KUANTAN - Sejumlah 582 kes jangkitan Covid-19 dilaporkan di Pahang setakat semalam, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 211 kes jangkitan adalah semasa gelombang ketiga penularan wabak berkenaan iaitu dalam tempoh 20 September sehingga 9 Disember lalu.

Iklan
Iklan

"Daripada jumlah itu (211), sebanyak 45 kes atau 21.3 peratus melibatkan warganegara dan 166 kes (78.7 peratus) bukan warganegara. Terdapat pertambahan mendadak kes positif dalam kalangan bukan warganegara dan kebanyakan kes adalah tidak bergejala atau hanya mempunyai gejala ringan.

"Justeru, terdapat keperluan untuk sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) berisiko rendah yang bersesuaian bagi kes-kes ini. JKN Pahang dengan kerjasama Jawatan kuasa Task Force Covid-19 Negeri Pahang telah bersetuju menjadikan Stadium Tertutup Majlis Sukan Pahang (Sukpa) di Indera Mahkota sebagai PKRC untuk bukan warganegara ini," katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Tambah Dr Bahari, PKRC itu bukan sahaja akan menempatkan bukan warganegara dari kawasan Bentong tetapi juga dari daerah-daerah lain berdasarkan kepada beberapa justifikasi.

Katanya, Stadium Tertutup Sukpa terletak berdekatan jalan raya utama yang memudahkan pengangkutan bagi kes-kes positif dari daerah-daerah lain.

Iklan

"Stadium ini mempunyai kemudahan asas yang mencukupi untuk merawat kes Covid-19 tidak bergejala atau dengan gejala ringan dalam jumlah yang besar sehingga 200 pesakit.

"Pada masa sama, pusat ini juga terletak berdekatan dengan hospital pakar iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC) Kuantan yang mempunyai kepakaran dan peralatan mencukupi untuk rawatan kes kritikal," kata beliau lagi.

Menurutnya, operasi PKRC Sukpa itu tidak menjejaskan rawatan kepakaran oleh mana-mana pakar di HTAA dan SASMEC termasuk pakar jantung, pakar bedah dan lain-lain kepada kes-kes warga tempatan.

"Begitu juga perkhidmatan-perkhidmatan rawatan lain di hospital akan terus dilaksanakan seperti biasa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Stadium Sukpa jadi PKRC untuk pesakit Covid-19 bukan warganegara