KOTA TINGGI - Seorang lelaki yang sedang membaiki jeti hilang dipercayai lemas selepas tergelincir ke dalam laut di Jeti Tanjung Balau, Bandar Penawar dekat sini semalam.
Dalam kejadian jam 5.05 petang, Mohd Zulfikrie Buang, 24, dikatakan tergelincir dari perancah ketika kerja-kerja membaiki kerosakan di jeti itu.
Iklan
Iklan
Komander Operasinya, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penawar bergegas ke tempat kejadian.
"Pihak bomba melakukan pencarian di pinggir pantai di tiga kawasan iaitu Jeti Nelayan Tanjung Balai, Jeti Challet Tanjung Balau dan Pantai Tanjung Balai.
"Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengalami kesukaran kerana hujan lebat selain keadaan laut berombak dan angin kuat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, SAR yang masih dijalankan itu turut dibantu agensi lain seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan kakitangan Jabatan Kesihatan.