Titah Sultan Perak isyarat jelas keperluan reformasi sistem politik: ABIM

Iklan
Muhammad Faisal Abdul Aziz

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpandangan, bahawa titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah adalah isyarat jelas perlunya pelaksanaan reformasi dan penambahbaikan dalam sistem politik sedia ada.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, seluruh ahli politik perlu menyambut titah tersebut dengan bersama mengangkat agenda perubahan sistem politik yang lebih baik bagi menghentikan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.

Iklan
Iklan

"ABIM menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mengingatkan bahawa pemimpin beriman tak perlu beri sogokan dan membuat ugutan untuk mendapatkan sokongan.

"Pada masa sama, ABIM berpandangan Sultan Perak jelas menzahirkan usaha reformasi dan penambahbaikan sistem politik sedia ada perlu dilakukan agar permainan politik atas landasan menjaga kepentingan golongan elit ahli politik dapat dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, perkara paling utama yang perlu diutamakan dalam reformasi politik yang akan dijalankan adalah keperluan untuk menggubal undang-undang seperti Akta Perlucutan Ahli Parlimen.

Katanya, penggubalan akta tersebut mampu melindungi mandat yang diberikan rakyat semasa pilihan raya daripada dipermainkan oleh pemimpin politik sekiranya ia berjaya direalisasikan.

Iklan

"Langkah reformasi yang dicadangkan ini termasuklah membataskan kuasa lantikan ahli politik dalam badan-badan tertentu seperti GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) yang tidak munasabah yang boleh dilihat sebagai sogokan politik demi mendapat sokongan,” katanya.

Menurutnya, perubahan sedemikian perlu dilakukan dengan segera supaya rakyat tidak lagi putus harapan kepada amalan demokrasi di Malaysia kerana ia merupakan asas utama yang menjaga kestabilan politik negara.

Tambahnya, ABIM juga menegaskan bahawa seluruh pemimpin politik harus bermuhasabah atas situasi krisis kepercayaan rakyat yang semakin menebal terhadap institusi politik ketika ini.

Semalam, dalam Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, Sultan Nazrin bertitah, bahawa pelantikan Menteri Besar Perak yang berlaku buat kali ketiga sejak berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah cerminan kegagalan kepimpinan daripada kalangan ahli politik.

Titah baginda, ia membuktikan pimpinan politik gagal mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat.