Baki lima Exco Perak terserah perkenan Sultan Nazrin: Saarani

Iklan
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

IPOH - Sebarang keputusan mengenai lantikan lima lagi Exco Kerajaan Perak bergantung kepada perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, baki lima exco kerajaan negeri itu akan dibuat apabila tiba masanya dan semua kekosongan itu akan diisi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga kini cadangan nama itu tidak akan didedahkan dari segi perincian dan komposisi parti yang akan mengisi jawatan tersebut.

"InsyaALLAH, lima exco lagi kita akan penuhkan apabila tiba masanya. Kita akan penuhkan seperti sebelum ini bila tiba masanya pelantikan itu akan dibuat.

Iklan

"Harus diingat Menteri Besar hanya boleh mencadangkan nama exco. Hak mutlak untuk memperkenankan cadangan tersebut adalah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita sama ada wakil Pas akan dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Perak dalam kerajaan baharu yang diketuainya.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Saarani angkat sumpah Menteri Besar Perak ke-14

Saarani mulakan tugas MB Perak

'Kami sebulat suara calonkan Datuk Saarani'

Pada Khamis, lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdiri daripada wakil UMNO dan seorang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilantik sebagai Exco Kerajaan Perak selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Nazrin.

Mereka ialah ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Lintang, Datuk Zolkafly Harun; ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; ADUN Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin dan ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed.

Sementara itu, mengenai portfolio exco, Saarani membayangkan kemungkinan terdapat perubahan mengikut keperluan dan kesesuaian.

"Itu (portfolio) pun saya akan buat kajian semula berdasarkan sembilan bulan yang lalu, sudah tentu kita akan buat kajian tentang kesesuaian mungkin ada pengubahsuaian kepada porfolio yang dipegang bagi tujuan untuk kita memperbaiki kalau ada apa-apa kelemahan sebelum ini.

"Kita akan penuhkan portfolio selepas exco dilantik," katanya yang juga ADUN Kota Tampan.

Terdahulu Saarani memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak yang baharu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Beliau yang memakai baju Melayu berwarna hijau tiba pejabatnya pada jam 9 pagi dengan mengimbas kad perakam waktu sebelum masuk ke biliknya.

Ketibaannya di Bangunan Perak Darul Ridzuan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulazlan Abu Hassan.

Beliau turut memberikan upacara ringkas dimulakan dengan bacaan doa diikuti dengan sesi bergambar bersama ketua-ketua jabatan negeri.

Saarani mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak ke-14 pada Khamis di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Nazrin perkenan Saarani sebagai MB Perak

Lantikan tiga Menteri Besar cerminan kegagalan: Sultan Nazrin