KUALA LUMPUR - Isu rakaman audio didakwa kenyataan AJK Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bahawa Pas menerima wang daripada Umno kembali diperkatakan.
Ia susulan pengakuan dua orang pengguna Facebook yang mendakwa sebagai saksi hidup dan mengesahkan kebenaran rakaman audio itu.
Salah seorang daripadanya, Dr Muhammad Atiullah Othman mendakwa, dia menjadi saksi hidup terhadap pengakuan Nik Mohamad Abduh tersebut.
"Bulan Oktober 2016 adalah paling hitam dalam hidup saya. Buat pertama kali menjadi saksi hidup pengakuan menerima suapan.
"Saya sebagai penjawat awam, tentu kenal bahawa apa yang disebut oleh YB Nik Mohamad Abduh adalah rasuah, bukan hadiah. Semua penjawat awam telah diberi pendedahan perbezaan antara hadiah dan rasuah sebagai syarat pengesahan jawatan," katanya dalam kenyataan Facebook bertajuk 'Lebih 40 saksi hidup terhadap pengakuan YB Nik Mohamad Abduh menerima duit Umno'.
Dakwanya, pada hari kejadian terdapat beberapa pemimpin lain antaranya Ustaz Zaharuddin Muhammad, Nasrudin Hassan dan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
"Tiada seorang pun di hadapan saya. Tiada kepala yang menghalang saya dari memandang Nik Mohamad Abduh.
"Di belakang saya pula adalah Ustaz Hazmi Dibok. Saya turut memerhati di sekeliling dan cuba mengenali satu persatu orang yang hadir. Jumlah mereka yang patut jadi saksi mencecah atau pun lebih empat puluh (40) orang," katanya.
Menurutnya, selepas peristiwa itu dia berasa sangat kecewa dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Pas.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Muhammad Hanafi Sulaiman turut mendakwa dirinya saksi hidup pengakuan tersebut.
"Sekali lagi saya sebutkan,Nik Abduh mengaku ambil duit Umno. Pengakuan pada Oktober 2016, di Puchong. Audio itu benar," tulisnya.
Dia juga mendakwa telah membuat laporan kepada Pas Pusat tetapi tiada tindakan diambil.
"Korang pergi tanya orang atas pula, kenapa tak panggil?
"Kita tengok apa tindakan Pas Pusat selepas ni pula," katanya.
Tahun lalu, rakaman audio yang didakwa suara Nik Mohamad Abduh mengatakan Pas menerima wang daripada Umno tular.
Bagaimanapun, ia dinafikan oleh Ahli Parlimen Bachok itu dan menganggapnya sebagai fitnah.
ARTIKEL BERKAITAN:
Hadi, Sarawak Report selesai kes saman luar mahkamah
Clare puas hati kes saman Pas selesai luar mahkamahSabtu lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menyelesaikan kes saman terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di luar mahkamah dan Clare turut menarik balik Tuntutan Balas terhadap Ahli Parlimen Marang itu.
Kedua-dua pihak adalah tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian tersebut.
Clare juga menjelaskan tidak menurunkan artikel berkenaan walaupun kes diselesaikan di luar mahkamah.