PENGKALAN HULU - Dua lelaki ditahan polis kerana memiliki senapang berserta peluru dalam serbuan berasingan di Kampung Tasek di sini, semalam.
Serbuan dilakukan pada jam 11 pagi dan 12.30 tengah hari dilakukan sepasukan cawangan D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, cawangan D8 Bukit Aman dan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu.
Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, tangkapan pertama melibatkan lelaki berusia 34 tahun di sebuah kebun di Belukar Semang di sini.
"Polis berjaya menemui selaras senapang rifle buatan Czechoslovakia berserta kelopak dan tiga butir peluru.22 yang dibungkus dalam plastik hitam.
"Siasatan awal mendapati suspek tidak mengaku sebagai pemilik senjata dan mendakwa senjata tersebut merupakan milik seorang rakannya,” katanya.
Menurutnya, berpandukan tangkapan, serbuan kedua dilakukan di sebuah kebun pisang berhampiran dan menahan warga emas berusia 65 tahun.
"Polis menemui selaras senapang patah berhulu kayu dan sebuah beg pinggang yang mengandungi sembilan butir peluru penabur yang disorokkan di bawah meja dalam pondok di kebun tersebut.
"Tangkapan mengakui pemilik senjata tersebut yang dibelinya sejak tujuh tahun lalu dengan harga RM3,500 serta 70 peluru untuk kegunaan menjaga kebun daripada serangan babi hutan dan haiwan liar,” katanya.
Zulkepli berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod dalam jenayah lampau.
"Suspek direman selama lima hari sehingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi ( Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,” katanya.