SEKINCHAN - Seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) menemui mayat bayi lelaki tanpa pakaian digumpal dengan kain telekung dalam sebuah beg plastik di kebun kelapa sawit di Kampung Tali Air 11 Pasir Panjang, Sekinchan di sini hari ini.
Rosnah Rusni, 47, berkata, kejadian disedarinya sejurus membuka pintu dapur rumahnya kira-kira jam 8.30 pagi tadi.
"Selepas pintu dapur dibuka saya nampak ada beg plastik warna biru di bawah pokok kelapa sawit yang terletak kira-kira 10 meter dari pintu dapur rumah dan terus memanggil anak lelaki saya untuk melihat beg terbabit," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Rosnah berkata, anaknya kemudian membuka beg terbabit dan menemui kain putih dengan kesan darah sebelum dia dipanggil untuk melihat kejadian itu.
"Mulanya saya ingatkan ada seseorang letak barangan peribadi dalam beg, rupanya sangkaan saya meleset apabila temui mayat bayi masih bertali pusat digumpal dalam kain telekung.
"Saya tak dapat gambarkan dengan kata-kata hingga badan saya tiba-tiba menggeletar melihat sendiri mayat bayi cukup sifat dalam keadaan sudah tidak bernyawa," katanya.
Rosnah yang menetap di kampung itu sejak 13 tahun lalu berkata, dia yang dalam keadaan masih terkejut kemudian segera menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.
"Saya memang berada di rumah sepanjang masa, tak pula mendengar bunyi mencurigakan di luar rumah.
"Saya anggap ini perbuatan kejam dan tidak berhati perut selain memohon polis mengambil tindakan sewajarnya kepada pelaku," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pemeriksaan awal mendapati keadaan bayi cukup sifat.
Beliau berkata, bayi itu dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam berdasarkan tali pusat yang masih bersambung, keadaan darah belum kering dan terdapat najis bayi di dalam beg berkenaan.
"Kes siasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian," katanya.