KUALA LUMPUR - Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meluangkan masa melawat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam, yang dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan.
Perkara itu dikongsikan anak Mohamed Azmin, Farah Amira menerusi akaun Twitternya (https://twitter.com/miraazmin?lang=en) yang merakamkan kehadiran Dr Siti Hasmah dan ditemani isteri Timbalan Presiden PKR itu, Datin Seri Shamsida Taharin di sebuah bilik hospital.
Bagaimanapun Farah Amira tidak mendedahkan jenis pembedahan dan di mana ayahnya mendapatkan rawatan.
"A picture paints a thousand words, they say. Indeed, Abah @AzminAli in high spirits, from the care, love and affection showered on him by Tun Dr. Siti who came to visit after Abah's surgery. (Sekeping gambar menceritakan seribu perkataan, kata mereka. Sesungguhnya, Abah @AzminAli berada dalam semangat yang tinggi, susulan daripada perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Tun Dr Siti yang datang sendiri melawat selepas pembedahan Abah).
"Such a gem of a person, Tun Dr. Siti is the embodiment of kindness, gentleness, love and compassion as I can see for myself in the way she cares for Abah @AzminAli (Sungguh indah, Tun Dr Siti adalah lambang baik hati, penyayang, pencinta dan belas kasihan yang saya dapat lihat sendiri dengan cara beliau mengambil berat hal Abah @Azmin Ali).” kata Farah Amira di Twitter semalam.
Dalam video dan gambar yang dimuatnaik, kelihatan Dr Siti Hasmah berbual mesra dengan Mohamed Azmin yang terbaring di atas katil.
Menurut Farah Amira, ayahnya juga tidak sabar untuk kembali bekerja.
"Oh dear, I'm not sure if this is a good thing... All this cheering up has put Abah @AzminAli in such high spirits that he says he just can't wait to get back to work (Oh, saya tidak pasti sama ada ini suatu yang baik... Semua kata-kata ucap selamat kepada Abah @AzminAli adalah penuh dengan semangat hingga membuatkan beliau menyatakan bahawa beliau tidak sabar lagi untuk menyambung semula tugas),” katanya.
Sementara itu Mohamed Azmin dalam laman Twitternya mengucapkan terima kasih kepada kenalan yang menziarahinya seperti Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr. Afif Bahardin dan Hilman Idham.
"Saya hargai doa dan kiriman ucap selamat dari teman dan kenalan. Insya Allah dilindungi kita semua. Terima kasih di atas ziarah @SyedSaddiq @afifbahardin @hilmanidham,” katanya.