IPOH - DAP Perak mendedahkan UMNO menawarkan jawatan Exco Kerajaan Negeri kepada Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekiranya dua parti tersebut sedia membentuk kerajaan bersama.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, tawaran itu dibuat bagi membentuk kerajaan bersama selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas tidak memberikan sebarang kata putus.
Beliau bagaimanapun berkata, tawaran tersebut tidak diterima oleh Pakatan Harapan (PH) Perak kerana mengenepikan DAP sebagai salah sebuah parti gabungan.
"Semasa rundingan dibuat, UMNO telah membuat beberapa tawaran termasuklah jawatan Exco kepada PKR dan Amanah tetapi tidak kepada DAP. Sekiranya tawaran ini diterima, persepakatan ini akan tergugat dan PH Perak akan musnah.
"Disebabkan itu, PH Perak tetap tegas dengan pendiriannya dan memberitahu UMNO bahawa PH akan berdiri sebagai satu blok. Kita hanya bersetuju jika ketiga-tiga pihak disertakan bersama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kami sedia bekerjasama dengan UMNO: PH Perak
Anwar restu kerjasama PH-UMNO bentuk kerajaan Perak
Kor Ming berkata, untuk menyelesaikan kebuntuan dalam pembentukan kerajaan baharu di Perak, DAP negeri mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu bersedia bersama UMNO dengan syarat kerajaan gabungan baharu itu perlulah berlandaskan integriti, pemerintahan yang baik dan tanpa berkompromi dengan prinsip parti.
Katanya, kenyataan itu dikeluarkan selaras dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Presiden PH bahawa mereka bersedia membentuk kerajaan dengan UMNO untuk kesejahteraan rakyat.
"Oleh itu, rundingan berterusan antara kedua-dua PH dan UMNO dibuat sehingga larut malam, namun tiada persetujuan yang dicapai kerana UMNO tidak dapat menerima terma dan syarat ditetapkan oleh PH.
"Disebabkan kedua-dua pihak tidak dapat mencapai kesepakatan, UMNO kemudian kembali kepada Bersatu dan Pas untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu," katanya.
Kor Ming berkata, kesediaan rundingan itu menjelaskan bahawa DAP bukan parti anti Melayu atau anti Islam seperti didakwa pelbagai pihak tetapi hanya anti rasuah.
Menurutnya, PH berpegang kepada prinsip bahawa mereka kekal bersama sebagai satu gabungan dan tidak berpecah untuk berkuasa.
Jelas beliau, mempertahankan prinsip dan kesepaduan bukan satu kerugian terutama atas apa yang diperjuangkan, sebaliknya rakyat akan melihat Perikatan Nasional (PN) serta UMNO lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada menjaga kebajikan rakyat.
ARTIKEL BERKAITAN: ADUN DAP Perak tak setuju kerjasama UMNO
Amanah sedia bekerjasama dalam kerajaan Perak baharu
Baki lima Exco Perak terserah perkenan Sultan Nazrin: Saarani