LIPIS - Seorang suami tidak sempat menjemput isterinya pulang dari tempat kerja apabila motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah lori balak di Kilometer 1 Jalan Lipis-Benta di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, Mohd Yussafal Ramdhan Mohd Yusof, 41, dari Bukit Kerani, Kuala Lipis di sini meninggal dunia di tempat kejadian.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM VF3i secara bersendirian dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke Hospital Kuala Lipis bagi menjemput isterinya yang bekerja di situ.
"Semasa melalui selekoh dan mendaki bukit, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di laluan bertentangan.
"Pada masa sama, sebuah lori balak jenis Mercedes Benz tiba di tempat kejadian lalu melanggar mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azli berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor perubatan dan dibawa ke Hospital Kuala Lipis bagi tujuan bedah siasat, manakala pemandu lori berusia 68 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.