KUALA KRAI - Pengalaman mengalami alahan teruk kerana mengandung ketika Kelantan berdepan bencana banjir besar pada tahun 2014 sukar dilupakan buat seorang penduduk di sini.
Walaupun sudah enam tahun berlalu, namun apa yang dirasai M Subashini, 26, masih lagi bermain di fikirannya terutama pengalaman terpaksa bermalam di kuil di salah satu bukit yang berdekatan dengan rumahnya.
Menurutnya, dalam keadaan badan tidak bermaya, muntah, mual serta demam, dia dan suami, T Mogandass, 36, terpaksa keluar dari rumah sehelai sepinggang apabila air sudah mula memasuki rumah mereka sehingga paras pinggangnya.
"Saya masih ingat, suami suruh saya bersedia untuk pindah. Saya hairan, mahu pindah ke mana, sedangkan semua tempat sudah ditenggelami air.
"Suami kata kami akan berteduh di Kuil Mariamar yang berada lebih kurang 500 meter dari rumah kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, dalam kejadian banjir itu, tidak dapat digambarkan kesedihannya apabila tiada barangan yang boleh diselamatkan.
"Memang ia satu dugaan buat saya. Hanya nyawa yang perlu kami pentingkan memandangkan air semakin naik dan berlaku dalam keadaan yang sangat cepat.
"Saya risaukan kandungan saya. Ini pengalaman pertama mengandung dan saya tidak tahu bagaimana cara untuk memastikan saya berada dalam keadaan baik dan kandungan juga tidak terjejas,” katanya.
Subashini dan Mogandass merupakan antara 85 penduduk di Kampung Pasir Kelang Lama di sini yang berdepan situasi banjir besar pada enam tahun lalu sehingga memaksa mereka semua berpindah ke kuil tersebut untuk berlindung.
Bercerita lanjut, Subashini berkata, dia mengakui kawasan kediamannya adalah berbukit, namun tidak menyangka air banjir tersebut akan naik setinggi itu sehingga menenggelamkan rumahnya.
"Saat itu kami seperti satu keluarga tidak kira India atau Melayu, masing-masing berganding bahu, malah saya sendiri membantu menyiapkan tempat solat untuk mereka yang beragama Islam.
"Kami bersatu hati dan buat semua perkara bersama. Tiada yang terbaik kecuali mohon untuk terus hidup dalam keadaan seperti itu," katanya.
Katanya, apa yang lebih menakutkan, mereka terputus terus hubungan dengan masyarakat luar.
"Makanan pun kami makan apa sahaja yang kami jumpa. Contohnya ayam yang tersangkut di pokok dan sebagainya.
"Ada di antara binatang ternakan kami yang masih hidup ketika itu, semuanya bergantung di hujung-hujung pokok yang tinggi," katanya.
Sementara itu, Mogandass turut berkongsi pengalamannya menyelamatkan sebuah keluarga yang hampir dibawa arus.
Katanya, keluarga itu 'tersangkut' di atas pokok akibat terperangkap dan tidak sempat untuk melarikan diri ke atas bukit berhampiran.
"Banyak pengalaman yang kami dapat rasai. Memandangkan kami duduk bersama orang Islam, kita boleh tengok mereka berdoa, kami berdoa, masa itu kami boleh diibaratkan hidup dalam keadaan trauma sebab masing-masing takut, lapar, sedih, semua ada.
"Saya berasal dari kampung ini dan itulah kali pertamanya kami berdepan banjir besar. Memang rumah kami dekat dengan Sungai Nal, tapi sebelum ini hanya banjir biasa saja.
"Inilah pengalaman yang saya tidak akan lupakan sampai bila-bila. Harapnya ia tidak berulang lagi, cukuplah ia jadi satu kenangan buat kami di kampung ini,” katanya.