Kadar pengangguran dijangka 4.3 peratus tahun ini

Iklan
Jabatan Perangkaan mengumumkan bahawa kadar pengangguran meningkat sedikit kepada 4.7 peratus pada Oktober 2020 berbanding paras tinggi 5.3 peratus pada Mei 2020. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - MIDF Research menjangkakan kadar pengangguran Malaysia pada tahun 2020 mencecah sekitar 4.3 peratus daripada 3.3 peratus tahun lepas berikutan penurunan eksport sejak beberapa bulan lepas yang berpotensi menjejaskan prospek pekerjaan dalam sektor perdagangan.

Dalam nota penyelidikannya, ia menyifatkan lonjakan kes jangkitan Covid-19 dalam pasaran eksport seperti Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom juga boleh menjejaskan unjuran perdagangan serta rancangan pengambilan pekerja berikutnya dalam suku semasa.

Iklan
Iklan

Malah, pemulihan pasaran tenaga kerja juga dijangkakan turut memakan masa untuk kembali mencecah paras sebelum berlakunya pandemik tersebut.

"Sejajar dengan pemulihan ekonomi yang berterusan, kami melihat aktiviti pembukaan semula ekonomi dan peningkatan permintaan tenaga kerja yang menyebabkan penurunan kadar pengangguran berbanding paras tinggi pada Mei 2020.

Iklan

"Bagaimanapun, kemunculan semula kes jangkitan Covid-19 dan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga awal Disember 2020 hanya terarah kepada pemulihan pasaran kerja yang lebih perlahan. Pada masa sama, kami juga menjangkakan permintaan tenaga kerja bagi sektor perkhidmatan, khususnya perhotelan dan restoran akan susut semula,” katanya.

Jabatan Perangkaan hari ini mengumumkan bahawa kadar pengangguran meningkat sedikit kepada 4.7 peratus pada Oktober 2020 berbanding paras tinggi 5.3 peratus pada Mei 2020.

Iklan

Kadar pengangguran semasa kekal meningkat berbanding tempoh sebelum pandemik (Februari 2020: 3.3 peratus) berikutan masih banyak syarikat yang belum beroperasi pada kapasiti sepenuhnya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: SPA terima 1.145 juta permohonan termasuk di jabatan teknikal