SHAH ALAM - Pas akur terhadap apa sahaja keputusan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu sebagai Exco kerajaan Perak.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, lantikan bagi jawatan tersebut adalah hak Sultan Perak.
Menurutnya, Pas melihat isu utama kemelut politik di Perak selesai hasil muafakat Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO dengan menyokong Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.
"Pelantikan lima Exco membolehkan kerajaan Perak berfungsi dan pentadbiran berjalan, tentunya akan ada pertambahan Exco bagi melengkapkan urus tadbir kerajaan negeri.
"Ini kita serah sepenuhnya kepada kebijaksanaan Tuanku. Soal ADUN Pas dilantik sebagai Exco atau tidak adalah hak Tuanku Sultan Perak.
ARTIKEL BERKAITAN: Pas Perak yakin tidak akan ditinggalkan UMNO
[EKSKLUSIF] Isu Exco Perak: Status quo Pas, Bersatu kekal
"Pas akur apa sahaja yang baik pada pandangan Tuanku kerana yakin kestabilan kerajaan adalah keutamaan Tuanku," katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak timbul soal derhaka atau sebaliknya kerana sesuatu kemelut politik harus dilihat secara menyeluruh bukan hanya satu juzuk bagi membuat penilaian.
Menurutnya, mengurus kemelut yang berlaku memerlukan ruang tersendiri dan dalam tempoh yang sangat singkat.
"Dalam situasi begini, tidak hairan kalau salah faham, silap maklumat dan tentunya golongan yang berkepentingan akan mengambil kesempatan.
"Apapun dengan kesabaran semua pihak dan jiwa besar akhirnya ia berjaya diselesaikan. Alhamdulillah kemelut ini tidak mengambil masa yang lama.
"Kini masa untuk melihat ke hadapan bagi meneruskan pembangunan negeri, menjaga kebajikan rakyat dan memperkukuhkan muafakat politik," katanya.