Covid-19: Tentera bantu kawal pergerakan di PKRC Sukpa

Iklan
Anggota tentera turut ditugaskan memasang kawat duri di kawasan PKRC Sukpa, kelmarin.

KUANTAN - Anggota tentera dari 12 Rejimen Askar Melayu Diraja ditugaskan mengawal pergerakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di

Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), Indera Mahkota, di sini.

Iklan
Iklan

Pegawai Memerintah 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize), Leftenan Kolonel Hafiz Sulaiman berkata, seramai 18 anggota dan seorang pegawai terlibat dalam tugas itu.

Menurutnya, pihaknya diberi tanggungjawab membantu pihak polis bagi mengawal pergerakan keluar masuk dalam kawasan PKRC itu selama 24 jam.

Iklan

"Pihak kami juga diberi tanggungjawab memasang kawat berduri di kawasan PKRC. Kerja-kerja pemasangan kawat duri dilakukan bermula jam 11 malam kelmarin dan mengambil masa 12 jam untuk disiapkan," katanya.

Hafiz berkata, pihaknya akan menjalankan tugas itu dengan sebaik mungkin bagi melancarkan pengurusan di PKRC tersebut.

Iklan

"Kita sentiasa menjaga keselamatan semua anggota yang bertugas dan mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dari masa ke masa sepanjang bertugas di situ," katanya.

Stadium tertutup Kompleks Sukpa dijadikan PKRC bagi menempatkan pesakit bukan warga negara berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus.

PKRC itu kini menempatkan 141 pesakit Covid-19 warganegara asing dari Kluster Genting; Ria Apartment, Amber Court Apartment dan Rumah Kongsi Kampung Semaut, Bentong.

Kumpulan terbabit tiba di PKRC itu malam tadi menaiki lima buah bas yang dikawal ketat pihak polis.

Stadium tertutup Sukpa dipilih sebagai PKRC kerana mempunyai kemudahan asas yang mencukupi untuk merawat kes-kes Covid-19 tidak bergejala atau dengan gejala ringan sehingga 200 orang.

Selain itu, kedudukannya berdekatan dengan hospital berpakar iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah,Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC) Kuantan yang mempunyai kepakaran dan peralatan mencukupi untuk rawatan kes-kes kritikal.