Ahmad Faizal kemuka nama ADUN Bersatu jadi Exco Perak

Iklan
Ahmad Faizal Azumu

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak mencadangkan beberapa nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti berkenaan untuk dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

Iklan
Iklan

"Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar dan percaya beliau akan membawa nama-nama ini untuk dipersembah kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan kita harap yang terbaik," katanya kepada pemberita pada Kempen Hijaukan Bumi Kita, Selamatkan Generasi Akan Datang anjuran Ahli Majlis Zon Pasir Pinji di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau sendiri akan dilantik sebagai seorang Exco, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang berkata, kemungkinan besar beliau tidak akan memegang jawatan itu dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Iklan

Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, beliau akan memfokuskan tugas sebagai Ahli Parlimen Tambun dan ADUN Chenderiang.

Khamis lepas, empat daripada lima ADUN yang mengangkat sumpah adalah lantikan semula iaitu Datuk Zolkafly Harun (BN-Lintang); Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup); Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (BN-Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (BN-Bota).

Iklan

Bagaimanapun, hanya seorang ADUN dari Bersatu yang dilantik iaitu Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik) adalah muka baharu.

Barisan Exco Perak terbubar selepas Ahmad Faizal meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada 5 Disember lepas, setelah gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ sehari sebelum itu.

Menerusi usul yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) pada persidangan DUN, Jumaat lepas, Ahmad Faizal hanya memperoleh 10 undi sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

DUN Perak mempunyai 59 kerusi dengan UMNO memiliki wakil terbanyak 25 kerusi, diikuti DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Baki lima Exco Perak terserah perkenan Sultan Nazrin: Saarani

Zainol Fadzi antara lima ADUN terima lantikan Exco