SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum menerima sebarang laporan khusus mengenai wujud pergolakan susulan tular perbualan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang didakwa menghina presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, setiap aduan mengenai parti akan segera dibincangkan di peringkat pimpinan.
"Setakat ini belum terima apa-apa (laporan) jadi sukar untuk komen kerana belum ada kesahihan sama ada benar atau tidak benar, atau ada orang buat suntingan (perbualan yang tular itu) atau bagaimana.
"Jadi, setakat ini (isu hina Anwar) belum dibincangkan tapi saya percaya dengan mana-mana isu yang di bawa ke perhatian kami adakan mesyuarat.
"Perkara ini mungkin akan dibincangkan sekiranya ada laporan dibuat tapi waktu ini saya belum terima apa-apa maklumat daripada pihak ibu pejabat tentang isu ini, setakat ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Beliau berkata, sebarang isu atau laporan membabitkan kepimpinan akan diteliti secara serius dan menyeluruh.
Hari ini, tular perbualan yang didakwa Akmal Nasrullah dan beberapa pemimpin lagi dalam satu kumpulan sembang WhatsApp yang dikatakan menghina Anwar.
Perbualan itu jelas menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Anwar berikutan telah beberapa kali dikecewakan oleh pemimpin nombor satu parti itu.
Berdasarkan perbualan itu, perasaan tidak puas hati itu timbul berikutan kegagalan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti, sekali gus menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.