BUKIT KAYU HITAM - Rondaan bersama melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) akan dilakukan di seluruh sempadan utara tanah air bermula tahun 2021.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini kawalan dilakukan secara berasingan mengikut kawasan-kawasan yang telah diagihkan.
Menurutnya, Ops Benteng bersama itu juga akan dibantu oleh peralatan-peralatan canggih bagi menjaga sempadan tanah air sepanjang 24 jam daripada diceroboh pendatang asing tanpa izin (PATI) atau penyeludup yang berusaha meloloskan diri ke negara ini.
"Sekarang ini dari segi kawalan kita bahagikan kawasan. Sebagai contoh kawasan yang dipanggil Ops Pagar ini dijaga oleh ATM dan di kawasan lain dijaga oleh PDRM.
"Mulai tahun depan Ops Benteng sebenar seperti dilaksanakan di kawasan lain terutama di kawasan penjagaan laut seperti di pantai barat Semenanjung dan Sabah serta Sarawak iaitu ops secara bersepadu juga akan dilaksanakan di sempadan di sebelah utara," katanya dalam sidang akhbar di Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan, Kem Bukit Kayu Hitam, dekat sini hari ini.
Hadir bersama adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman.
Turut bersama Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Panglima Briged Ke-6 Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid.
Tambah Ismail Sabri, rondaan bersama tersebut akan meningkatkan lagi kecekapan dan tindakan serta merta boleh dilakukan segera oleh PDRM atau AKSEM jika berlakunya tangkapan.
Katanya, dari segi kuasa, pihak tentera tidak mempunyai kuasa membuat tangkapan apabila berlaku pencerobohan dan sebelum ini polis akan dipanggil untuk membantu dari segi tangkapan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, peralatan untuk meningkatkan aktiviti pengawasan juga akan ditambah iaitu sebanyak 36 unit 'scrambler' dan lapan unit kenderaan lasak pelbagai bentuk muka bumi (atv).
Menurutnya, enam buah dron juga digunakan untuk membantu pengawasan sempadan secara bergilir-gilir oleh ATM di Bukit Kayu Hitam pada waktu siang dan malam.
"Kenderaan 'scrambler' dan juga atv pula dijangka sampai pada Januari depan bagi membantu kawalan di sempadan utara.
"Kami juga akan mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (cctv) dan radar untuk membantu kawalan di sempadan supaya dapat mengesan setiap pergerakan. Kalau semua ini dapat kita buat, saya yakin kawalan kita akan lebih ketat dan berkesan," kata beliau lagi.
Tambah Ismail Sabri, dua pos kawalan yang dikenali pos sempadan terkoordinasi iaitu kawalan bersama Tentera Thailand juga akan bina di daerah Padang Terap dalam mengekang aktiviti penyeludupan barang larangan dan juga PATI.