KOTA KINABALU - Kepimpinan barisan parti pembangkang perlu membuat perubahan untuk memenangi hati rakyat, sekali gus mengambil semula tampuk pemerintahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, rakan barisan pembangkang harus berani melakukan perubahan berikutan hala tuju tidak menentu serta keadaan ketidakstabilan politik dialami negara.
"Perubahan ini diperlukan rakyat yang dikongkong Covid-19, mereka menganggur tidak punya pekerjaan. Hala tuju tidak menentu, kestabilan politik tidak mantap.
"Hari ini, Parlimen ada 112, 109, 108 (sokongan). Bayangkan keadaan seperti apa yang berlaku di Perak boleh berubah kerajaan kerana tiada kestabilan.
"Apa yang kita mahukan, kita selaku parti Warisan dan juga pembangkang termasuk rakan kita perlu berani membuat perubahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2019 di Dewan Hakka Kota Kinabalu di sini hari ini.
Mohd Shafie berkata, perubahan itu turut disuarakan oleh pelbagai pihak dalam parti komponen yang lain.
"Saya tidak mahu bercakap mengenai seseorang tetapi sebagai pemimpin, mereka harus berubah dari segi keadaan kepimpinan pembangkang kerana ini bukan saya yang suarakan.
"Sudah banyak yang menyuarakan dalam komponen DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun mereka menyatakan, meluahkan. Jadi kita cuma menyokong," katanya.
Beliau berkata, jika barisan pimpinan pembangkang masih di takuk lama dan hanya berpaut pada kaedah hari ini, rakyat tidak akan berpihak kepada mereka pada PRU akan datang.