Tiada tiga penjuru UMNO, Pas dan Bersatu pada PRU15

Iklan
Ismail Sabri (kiri) bercakap sesuatu dengan anggota ATM ketika melawat pos kawalan berhampiran pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam hari ini.

BUKIT KAYU HITAM - Pertembungan tiga penjuru membabitkan tiga parti Melayu terbesar di negara ini iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dielakkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketiga-tiga parti itu telah mencapai persetujuan agar tiada pertandingan tiga penjuru dan pengalaman lalu telah memberikan pengajaran bahawa pertembungan itu menyaksikan undi orang Melayu berpecah.

Iklan
Iklan

Malah, katanya, Pakatan Harapan (PH) ketika ini mengharapkan agar kerjasama tiga parti Melayu berkenaan berpecah bagi memudahkan mereka mencapai kemenangan seperti yang berlaku pada PRU14.

"Kita telah nyatakan dalam PRU15, UMNO akan menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) manakala Pas dan Bersatu pula telah mewujudkan Perikatan Nasional (PN).

Iklan

"Kita tak tahulah sama ada Bersatu dan Pas akan gunakan lambang PN atau sebaliknya, tetapi jika mereka bertanding di sesuatu kawasan, BN tidak akan bertanding di kawasan itu. Begitulah sebaliknya.

"Matlamat utama kita adalah mengelakkan pertembungan kerana tidak mahu undi Melayu berpecah," katanya pada sidang akhbar di Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan, Kem Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Iklan

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, pengagihan kerusi di antara ketiga-tiga parti tersebut masih belum dimuktamadkan lagi.

"Kita belum selesai berunding kerusi, jadi adalah lebih baik untuk tunggu semuanya selesai terlebih dulu.

"Setakat ini, itulah persetujuan yang dicapai. Untuk masa depan pun, saya fikir takkan ada masalah yang timbul kerana apa jua perkara berbangkit boleh dibawa berbincang dengan semua pihak," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, tiga presiden iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (UMNO), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu) akan mengadakan rundingan pembahagian kerusi di Kuala Lumpur pada minggu depan.