PRU Covid-19 atas talian

Iklan
Dalam suasana politik tidak menentu kini, apakah sudah tiba masanya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan secara atas talian? - Foto 123RF

SEJAK Mac 2020, rakyat Malaysia banyak didedahkan dengan aktiviti atas talian sehingga melahirkan komuniti alam maya. Penggunaan pelbagai gajet bukan baharu, cuma hubungan melaluinya menjadi lebih intensif ketika diuji pandemik Covid-19.

Mesyuarat, kelas dan kuliah dilakukan secara atas talian. Pembelian barangan digalakkan melalui platform tersebut.

Iklan
Iklan

Pelbagai pelantar disediakan bagi membolehkan rakyat bersedia bergerak menjadi ‘mesra digital’ dan ‘insan teknologi’ sepanjang pandemik. Dalam suasana politik tidak menentu kini, apakah sudah tiba masanya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan secara atas talian? Bersediakah kita?

Beberapa bulan lalu, kita telah melihat Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan DUN Slim diadakan ketika Covid-19 tetapi impaknya hanya ketara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah walaupun garis panduan pelaksanaan pilihan raya disediakan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Iklan

Ia menyebabkan darurat diisytihar untuk PRK Batu Sapi dan berkemungkinan PRK Bugaya dan PRK Grik akan menyusul dengan proklamasi sama oleh Yang di-Per-tuan Agong.

Sebanyak 73 negara menangguh atau membatalkan daripada mengadakan pilihan raya ketika pandemik sedang menular di seluruh dunia, namun ada 89 negara yang yakin dengan kemampuan meneruskan pilihan raya.

Iklan

Penambahbaikan boleh dilakukan dengan penyediaan perlindungan diri petugas, pengundi dan guna tenaga parti politik. Begitu juga garis panduan ketika PRU diadakan bersemuka wajar diperketat untuk mengurangkan kehadiran.

Namun, ruang lain seperti undi atas talian bagi memastikan tanggungjawab sebagai pengundi tidak dikompromi atau menjejas peratusan yang mengundi boleh dipertimbangkan kini.

Mengapa tidak pengundi saluran satu hingga empat diberikan kelonggaran dikategorikan sebagai pengundi awal atau pengundi pos termasuk wanita mengandung atau orang kurang upaya (OKU) serta yang berkerusi roda?

Terokai

Pilihan kepada pengundi boleh diperluaskan sebagaimana tempoh masa mengundi juga ditambah berserta saluran mengundi yang boleh dibanyakkan dengan mengehadkan bilangan pengundi di saluran tempat mengundi jika tidak boleh mengundi atas talian.

Ia bertujuan mengelak bilangan pengundi yang bersesak. Maka, undian atas talian wajar diterokai.

Kita juga tidak boleh mendiskriminasi pesakit Covid-19 dengan membuka ruang khas atau mencari medium tertentu atas talian untuk membolehkan mereka masih boleh mengundi. Jika kita bersedia, pastinya pengundi juga bersedia untuk menghadapi PRU Covid-19 atas talian.

Akses internet pasti menjadi salah satu limitasi untuk menanam sikap mengundi atas talian. Apakah perlu dilakukan di kawasan tersekat liputan internet dan sebaran berita serta informasi? Elemen geografi, kependudukan dan persempadanan memain peranan penting untuk mendalami gelagat dan tingkah laku pengundi.

Sepanjang kempen PRU jika diadakan dalam ruangan Covid-19, maka kempen tradisional sudah tidak boleh menjadi amalan. Sebagai alternatif, kempen atas talian boleh digerakkan secara menyeluruh. Media sosial perlu menjadi alat kempen paling padu ketika PRU khususnya mendampingi warga alam maya.

Telesidang video boleh dipergiatkan di mana-mana. Media konvensional juga boleh mengimbangi peranan media sosial agar tiada yang mendakwa gagal mendekati kumpulan bersasar pengundi mereka. Kempen boleh dilakukan atas talian dan memberi ruang di media nasional untuk kesemua pihak yang bertanding.

Perincian garis panduan pilihan raya negara lain boleh dijadikan asas sama ada sesuai dalam konteks persekitaran kita atau penambahbaikan dilakukan dengan tujuan tidak menjejas kredibiliti SPR.

Berpandukan garis panduan yang tegas, ketat dan mesra pengundi, kesiapsiagaan pihak berwajib untuk mengendalikan PRU sewaktu Covid-19 banyak bergantung kepada keupayaan kita mendekati indeks pilihan raya berkonsepkan pelbagai dimensi agar Malaysia boleh menjadi contoh kepada lain bahawa sudah tiba masanya kita perlu hidup bersama Covid-19 dan bukan sebaliknya termasuk dalam mengendalikan pilihan raya.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia