TVET Mara penuhi keperluan industri

Iklan
Kemahiran pelajar TVET Mara menepati kebolehpasaran dan memenuhi keperluan industri.

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) amat signifikan bagi pembangunan modal insan yang kompeten dan bertaraf dunia dalam memacu ekonomi negara.

Sumbangan Mara terhadap bumiputera sudah tidak asing lagi apabila agensi itu memberi fokus kepada pembangunan modal insan dan juga kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan membantu belia dan graduan untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran mengikut keperluan industri.

Iklan
Iklan

Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, Mara menyediakan ekosistem lengkap bagi program pendidikan di bawah TVET yang merupakan instrumen utama dalam melahirkan modal insan berkemahiran, inovatif dan berdaya saing.

"TVET Mara telah mencapai 52 tahun bermula dengan penubuhan Institut Kemahiran Mara (IKM) yang sebelum itu dikenali sebagai Sekolah Latihan Kemahiran Mara (SLKM) pada tahun 1968.

Iklan

"Mara telah melahirkan seramai 644,917 graduan dari Institusi Pendidikan MARA seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German-Malaysia Institute (GMI), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Mara -Japan Industrial (MJII), Institut Kemahiran Mara (IKM) dengan kadar kebolehpasaran 91 peratus setakat Oktober 2020,” katanya.

AZIZAH

Azizah berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan Mara untuk melahirkan graduan dan belia yang kompeten dan berkemahiran sejajar dengan inisiatif kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Iklan

"Ia bertujuan untuk menangani kadar pengangguran dengan mempertingkatkan latihan kemahiran dan program latihan dan penempatan yang dilaksanakan secara kursus jangka pendek.

"Ada dalam kalangan peserta tersebut akan dikenal pasti untuk menceburi bidang keusahawanan melalui pengupayaan digital dan e-dagang bagi meningkatkan pendapatan seterusnya dapat meningkatkan tahap sosioekonomi sekali gus mengurangkan kadar pengangguran dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, fokus utama Penjana Kerjaya Mara ialah menyediakan kemahiran bagi mendapatkan skil set yang memenuhi keperluan industri sekali gus membuka peluang kepada golongan sasar mendapatkan pekerjaan.

"Mara telah memainkan peranan yang signifikan dalam memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang semula ekonomi negara.

"Pelbagai program yang ditawarkan menerusi Institusi Pendidikan Mara (IPMA) berupaya memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dan keperluan industri bagi meningkatkan ekonomi dan mencapai status negara maju serta berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama erat di antara pihak industri dan IPMA dapat mengupayakan modal insan dan teknousahawan yang dilahirkan menggunakan kaedah Industry Base Education Training (IBET) dan Technopreneur Base Education Training (TBET).

Menurut Azizah, bagi pelaksanaan Ensuring Employability Programme (EEP), Mara telah diberi kepercayaan sejak tahun 2018.

"Antara program yang terlibat di dalam inisiatif EEP adalah Graduate Employability Training Scheme (GETS) dengan peruntukan RM30 juta yang memberi manfaat kepada 1,910 peserta yang ditempatkan di 135 industri seluruh negara.

"Program Industri Boot Camp (IBC) pula, seramai 2,994 peserta telah menerima manfaat dan ditempatkan ke 150 industri seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM24 juta,” katanya.

Pelajar IPMA sedang menjalani latihan industri.

Katanya, IBC merupakan program utama EEP dan terbuka kepada semua golongan belia di Malaysia iaitu graduan dan juga pensyarah yang bertujuan mendapatkan latihan dan kemahiran berdasarkan keperluan industri serta meningkatkan kebolehpasaran graduan seterusnya mendapatkan pekerjaan.

"Peserta akan menerima kemudahan sepanjang mengikuti kursus ini seperti yuran kursus, elaun sara hidup, makan dan minum, penginapan, pengangkutan dan juga insurans.

"Pelaksanaan kursus jangka pendek IBC ini selama sebulan hingga enam bulan meliputi keseluruhan program TVET dan juga berdasarkan keperluan industri,” katanya.

Katanya, peserta kursus dijamin mendapat pekerjaan dengan penetapan gaji bagi peringkat sijil RM2,000 sebulan manakala bagi diploma pula RM2,500 sebulan dan peserta yang memiliki ijazah bermula dengan RM3,000 sebulan.

Salah seorang peserta IBC di bawah Unimara Sdn Bhd, Muhammad Afiq Zuhaily menyertai program itu selama sebulan pada akhir Julai lalu.

"Selepas selesai menyertai program itu, saya diberikan sijil profesional mengikut kehendak industri terutamanya dalam bidang telekomunikasi kerana teknologi membangun dengan pantas.

"Menerusi program ini, saya mendapat pelbagai manfaat antaranya ia dapat menambahkan ilmu pengetahuan, keselamatan pekerja, fiber optik, pemasangan antena telefon dan sebagainya,” katanya yang bekerja dalam jurupasang telekomunikasi.

Muhammad Afiq, 21, berkata, mereka yang berminat dan ingin mencuba bidang baharu dialu-alukan untuk menyertai program yang ditawarkan.