JERANTUT - Seorang pembantu kedai trauma selepas terkejut dengan ketukan misteri di rumahnya pada Jumaat lalu ketika dia sedang melayari media sosial mengenai kejadian berkenaan.
Siti Fatimah Ghazali, 37, dari Kampung Perias, Jerantut Feri di sini memberitahu, rumahnya antara dua buah kediaman di kampung yang terlibat dengan ketukan misteri.
Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 9 malam ketika dia sedang tidur di dalam bilik.
"Saya memang mengetahui kejadian itu di Selangor dan Melaka melalui media sosial dan akhbar. Ketika ketukan berlaku saya sedang melayari Facebook dan membaca mengenai misteri itu.
"Ketika berharap semoga tiada kes seperti itu tiba-tiba terdengar bunyi ketukan di pintu. Saya tidak membuka pintu kerana takut dan terus berselimut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Tambahnya, ketika kejadian dia tinggal seorang diri manakala dua anaknya berusia 16 tahun sedang bekerja dan seorang lagi berusia 12 tahun berada di rumah jiran.
Siti Fatimah mengakui dia sangat takut dan sehingga kini masih demam dan tidak mampu pergi kerja.
Menurutnya, kini dua anaknya ketakutan dan tidak boleh tidur sendirian terutama selepas mengetahui jirannya, Habibah Sulong, 57, juga berdepan situasi sama selepas itu.
Sementara itu, Habibah berkata, kejadian ketukan selama lima minit kira-kira pukul 9.30 malam itu berlaku ketika dia dan suami, Jamaludin Sulaiman, 61, serta tiga anaknya berada di dalam rumah.
Katanya, mereka hanya terfikir remaja nakal di kampung itu mengetuk pintu tetapi tiada sesiapa di depan rumah selepas diintai.
"Lebih menakutkan kami berbau sesuatu yang amat busuk seperti bangkai," jelasnya.
Beliau memberitahu, selepas ketukan berakhir suami dan anak-anaknya membuka pintu dan tiada kelibat atau kesan kehadiran tetamu atau individu tetapi masih meninggalkan bau busuk.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis mengenai kejadian tersebut.