Isu air: MB Kedah diminta kurangkan kenyataan provokasi

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah berhubung caj air mentah.

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor diminta melihat kembali kenyataannya sebelum ini selain mengurangkan kenyataan provokasi berhubung caj air mentah yang boleh merosakkan hubungan negeri itu dengan Pulau Pinang.

Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata, 'drama' yang sedang berlaku menampakkan ketidakmatangan kepimpinan negeri dalam mengurus tadbir kerajaan dan sudah pasti menggambarkan suasana suram cahaya kemakmuran untuk negeri Kedah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai pemimpin sebuah negeri, Menteri Besar sepatutnya menunjukkan gaya kepimpinan serta visi dan misi yang jelas kepada rakyat jelata, bukannya menghidangkan cerita dongeng dan tidak masuk akal.

"Cerita yang didendangkan ini semua hanyalah seronok didengar dan tidak memberi sebarang hasil kepada golongan marhaen.

Iklan

"Kita sepatutnya berbaik sangka dengan negeri jiran seperti Pulau Pinang kerana limpahan ekonomi mereka akan tempias masuk ke Kedah sekali gus memberi kelebihan kepada kehidupan rakyat jelata bukannya sibuk mencari dan mencetuskan api permusuhan antara satu sama lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kok Yew berkata, Kedah sebagai sebuah negeri pertanian boleh memajukan sektor pengeluaran makanan yang kemudiannya mungkin boleh dibekalkan ke Pulau Pinang.

Iklan

Menurutnya, hal Ini antara bentuk kerjasama yang boleh dijalinkan sebagai situasi menang-menang antara kedua buah negeri dan berita tentang sekatan air ini umpama menyekat sumber asas kepada penduduk Pulau Pinang.

"Peristiwa ini seolah-olah mengulangi sejarah pemboikotan yang dilakukan orang Quraisy Mekah kepada penduduk Bani Hashim. Bukankah ini satu bentuk kezaliman kepada rakyat Pulau Pinang? Tidakkah tindakan ini bertentangan dengan Islam yang bencikan kezaliman dan pentingkan keadilan untuk semua," katanya.

Tambahnya, rakyat Kedah dikejutkan dengan beberapa berita sensasi yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah bermula dengan isu penemuan nadir bumi bernilai bilion ringgit sebelum disajikan pula dengan drama yang kedua, iaitu tuntutan caj air berjumlah 50 juta setahun dari Pulau Pinang.