SHAH ALAM - Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak cadangan agar parti itu menjadi sebahagian gabungan besar bersama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sebagaimana dicadangkan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Hamzah memberi cadangan supaya diwujudkan satu"piagam persefahaman politik" untuk membentuk gabungan besar merangkumi PN, BN dan GPS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15).
Iklan
Iklan
Memetik laporan portal Malaysia Kini hari ini, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Masing berkata, tidak ada keperluan untuk GPS menjadi anggota rasmi mana-mana 'gabungan besar' seperti yang disebut Hamzah.
Menurutnya, harus ada 'persefahaman yang disepakati bersama' antara GPS dan parti-parti lain, bahawa mereka semua mesti saling menyokong dalam setiap pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Pendek kata, PN dan calon tidak boleh bertanding dalam (PRN Sarawak akan datang) dan sebaliknya, parti Sarawak boleh bertanding di mana-mana kerusi di Malaya (Semenanjung Malaysia),” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB,) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah turut bersetuju bahawa GPS tidak perlu menjadi anggota rasmi bagi sebarang pakatan yang dicadangkan Bersatu.
Abdul Karim menyifatkan, status quo ketika ini di mana GPS menyokong kerajaan PN sudah mencukupi.