LUMUT - Industri pelancongan di Pulau Pangkor kembali rancak apabila menerima kedatangan pelancong domestik yang tinggi sejak Jumaat lalu susulan kebenaran rentas negeri diumumkan kerajaan.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Munir Shaari berkata, hampir semua bilik penginapan di hotel dan resort di pusat peranginan bebas cukai itu habis ditempah.
Menurutnya, perkembangan itu menggembirakan pengusaha hotel dan resort selepas lebih sebulan sepi tanpa kehadiran pelancong.
"Apabila kerajaan benarkan rentas negeri, memang berlaku peningkatan mendadak bagi tempahan hotel.
"Daripada kosong, sekarang boleh dikatakan semuanya 'full booked' untuk tiga hari pertama ini.
"Keadaan itu menjadi penanda aras bahawa pulau ini sudah mula menjadi tumpuan dan kembali menerima kehadiran pelancong," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklum balas, kebanyakan pelancong yang datang adalah dari sekitar Lembah Klang mengambil kesempatan cuti umum Hari Keputeraan Sultan Selangor pada Jumaat.
Katanya, ketika ini semua pengusaha hotel dan resort masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi mengelak penularan Covid-19.
"Walaupun kita gembira dengan kelonggaran diberikan kerajaan, dalam masa sama kita juga perlu memikirkan kesan jangka panjang. Sebaiknya semua SOP dikekalkan dan dipertingkat sekiranya perlu," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tempoh pulau bebas cukai kekal